Home Pertahanan dan Keselamatan 2 ‘transporter’, 16 PATI Indonesia dicekup dalam Ops Serkap

2 ‘transporter’, 16 PATI Indonesia dicekup dalam Ops Serkap

by Nurulhuda

PONTIAN, 10 NOV – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 18 warga Indonesia termasuk 2 yang berstatus penduduk tetap dan pemastautin sementara selepas disyaki menjadi dalang kepada aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 33 tahun itu ditahan bersama-sama 16 PATI lain dalam Ops Serkap yang dijalankan tengah malam tadi, di sini.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menumpaskan satu lagi taktik licin sindiket penyeludupan PATI yang menggunakan kenderaan persendirian bagi menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang itu.

“JIM Johor menahan 16 warga Indonesia terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 51 tahun dipercayai PATI yang akan dihantar pulang ke negara asal melalui lorong tikus,

“Turut ditahan seorang wanita warga Indonesia berstatus penduduk tetap dan seorang lelaki warga Indonesia berstatus pemastautin sementara berusia 32 dan 33 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baharuddin berkata, operasi dijalankan hasil risikan bersama Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dengan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian selama kira-kira 2 minggu.

Jelasnya, sepanjang risikan, mereka berjaya mengenal pasti lokasi rumah transit bagi menempatkan Pati yang berniat untuk keluar dari negara ini melalui lorong tikus.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menyasarkan PATI yang telah disenarai hitam daripada memasuki negara dan PATI yang melakukan kesalahan keluar dari Malaysia melalui pantai barat Johor,

“Setiap PATI dikenakan bayaran RM2,500 hingga RM3,500 seorang untuk perjalanan satu hala,” ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya turut menyita 2 buah kenderaan persendirian di bawah Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63 yang dipercayai digunakan oleh sindiket berkenaan untuk membawa Pati terbabit.

Kesemua mereka ditahan dan disiasat mengikut seksyen 6(1)(c) , 15(1)(c) dan seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita (JIM) tidak akan berkompromi kepada apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan sentiasa memastikan usaha membanteras sindiket berkaitan PATI dan aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan,

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi dan bersubahat dalam melindungi PATI,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#JIM #airtimes #keselamatan #PATI #Malaysia #Indonesia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?