Home Semasa PN belanja RM500 juta untuk iklan: Anwar bohong, berniat jahat – Muhyiddin

PN belanja RM500 juta untuk iklan: Anwar bohong, berniat jahat – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 NOV – Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membelanjakan RM500 juta bagi kontrak publisiti dan pengiklanan adalah tidak munasabah dan satu pembohongan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kenyataan Perdana Menteri itu bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada 14 Februari 2023.

Menurutnya, Armizan dalam kenyataan bertulisnya di Parlimen pada Februari lalu menyatakan Kerajaan PN hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan.

“Anwar juga mendakwa jumlah itu melanggar peraturan dan tatakelola serta keterlaluan,

“Nampaknya, Anwar membuat kenyataan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan kenyataan oleh Menteri di Parlimen. Saya mentadbir negara ketika COVID-19 melanda,

“Seingat saya penggunaan papan iklan besar, televisyen dan radio pada masa itu adalah untuk menyampaikan pesanan-pesanan mengenai bahaya COVID-19, maklumat berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhyiddin mengulas kenyataan Anwar di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa kerajaan membelanjakan kira-kira RM700 juta untuk perbelanjaan promosi dan publisiti semasa pentadbiran terdahulu.

Menurut Anwar, Muhyiddin menggunakan RM500 juta ketika pentadbiran beliau sementara bakinya adalah ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pentadbirannya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang tidak sampai setahun memerintah pada ketika itu, telah berbelanja sebanyak RM489,216.

“Jawapan bertulis itu juga menyebut Kerajaan Keluarga Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM62 juta bagi tujuan yang sama,

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan hanya satu program sahaja dilaksanakan semasa pentadbiran Kerajaan PN memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu,

“Pada 25 Mei pula, ketika Persidangan Dewan Rakyat, menteri yang sama telah memaklumkan tentang perbelanjaan terkini bagi program Malaysia Madani termasuk pengiklanan dan promosi iaitu sebanyak RM7.4 juta,” ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, walaupun pada awal tahun ini iaitu 29 April lalu, Anwar berjanji ‘tidak akan membazirkan wang negara’ dengan memasang papan iklan besar namun lihatlah hari ini – billboard gergasi Madani terpampang di merata-rata tempat, di mana-mana sahaja.

“Justeru, kenyataan Anwar yang memetik sejumlah angka sebegitu besar kononnya dibelanjakan oleh kerajaan pimpinan saya untuk tujuan promosi adalah satu tuduhan liar bagi memburuk-burukkan imej PN di mata rakyat,

“Perbuatan menuduh secara semberono merupakan satu lagi episod pembohongan Anwar yang jelas berniat jahat,” tegas Muhyiddin lagi. -airtimes.my

#Anwar #Muhyiddin #airtimes #semasa #PN

Related Articles

Leave a Reply