SANA’A, 2 NOV – Kumpulan Houthi di Yaman hari ini mengesahkan pihaknya telah melancarkan serangan dron secara besar-besaran terhadap Israel.
Perkara tersebut dinyatakan oleh jurucakapnya, Yahya Saree dalam satu kenyataan.
“Pasukan kami telah melancarkan serangan dron berskala besar terhadap beberapa sasaran jauh di dalam wilayah Israel,
“Tentera kami akan terus melaksanakan operasi sebegini sebagai sokongan dan kemenangan terhadap masyarakat Palestin,” katanya.
Menurut beliau, serangan dilancarkan selepas mendapat seruan dan desakan masyarakat Yaman.
Tambahnya, serangan ini akan diteruskan sehingga Israel menghentikan serangan terhadap Gaza.
Semalam, Yahya mengesahkan pihaknya telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron terhadap Israel. Serangan tersebut sekaligus menyebabkan Israel sedang berhadapan dengan serangan dari 4 penjuru – selain Gaza, Syria dan Lubnan.
Berikutan serangan tersebut, Tel Aviv telah menggerakkan kapal kovet mereka ke kawasan Laut Merah bagi memintas serangan yang dilancarkan oleh Sana’a.
Pada awal November lalu, Israel melaporkan beberapa pemintasan berlaku di bandar Eilat, di pesisir Laut Merah.
Meneliti video yang disiarkan oleh pihak Houthi, peluru berpandu yang dilancarkan adalah jenis Burkan manakala dron kamikaze jenis Samad.
Kedua-dua persenjataan ini merupakan hasil teknologi Iran dan digunakan oleh Houthi di Yaman. – airtimes.my