Home Semasa Rundingan Batu Puteh perlu libatkan AG kedua-dua negara – PM

Rundingan Batu Puteh perlu libatkan AG kedua-dua negara – PM

by Bernama

SINGAPURA, 31 OKT – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara (AG) Malaysia dan Singapura.

“Malaysia dan Singapura wajar membuktikan bagaimana dua rakan hebat boleh mencuba dan menyelesaikannya dalam situasi menang-menang,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong semalam.

Kedua-dua Perdana Menteri itu bertemu untuk sesi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10, yang pertama sejak pandemik COVID-19.

Disember tahun lalu, Anwar meminta Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap pulau yang kini sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Batu Puteh ialah sebuah batu tunggul kira-kira 7.7 batu nautika (14 km) selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura.

Ia kini menjadi milik Singapura, susulan pertikaian dibawa Malaysia dan Singapura ke ICJ pada 2003. ICJ pada 2008 memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura.

Sementara itu, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pemukiman itu, kedua-dua pemimpin kini menunggu Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) mengenai Pelaksanaan Penghakiman ICJ ke atas Batu Puteh (Pedra Branca), Middle Rocks dan South Ledge dan Jawatankuasa Penentu Sempadan (CBD).

Ini selaras dengan Perjanjian antara Menteri Luar Singapura dan Malaysia pada 14 Mac 2019 (Mesyuarat Bersama MSJTC dan CBD Pertama) untuk menyelesaikan isu persempadanan sempadan maritim dua hala yang belum selesai.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pemimpin mengambil maklum mengenai kemajuan dicapai pada Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja Teknikal mengenai Perjanjian antara Malaysia dan Singapura dalam Menetapkan Sempadan Perairan Wilayah dengan Tepat.

Ini selaras Perjanjian Negeri Selat dan Perairan Wilayah Johor 1927 (Perjanjian 1995), yang berlangsung pada Jun 2023.

Kedua-dua pemimpin juga berharap untuk mengadakan Mesyuarat Kedua Kumpulan Kerja Teknikal untuk menentukan lokasi sebenar titik sempadan antarabangsa menurut Perjanjian 1995. – Bernama

#semasa #Malaysia #Singapura #airtimes

Related Articles

Leave a Reply