[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=UGodkNLSah0[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 31 OKT – Malaysia telah menerima 3 notis tata tindak (demarche) daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan perkara itu berkata, 2 notis berkenaan diterima Kementerian Luar pada 13 dan 30 Oktober lalu, manakala satu notis lagi tidak dinyatakan tarikhnya.
“Oleh kerana keengganan kita membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas, saya mendapat maklumat melalui Kementerian Luar sudah menerima demarche iaitu tata tindak daripada Kedutaan AS sebanyak 2 kali pada 13 Oktober dan 30 Oktober lalu,
“Kerajaan diminta supaya negara tidak meneruskan dengan pendirian terutama keengganan kita (Malaysia) untuk menganggap Hamas itu sebagai badan pengganas,
“Saya telah jawab dalam majlis di stadium baru-baru ini dan saya tegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bebas kita, mempertimbang aspek kemanusiaan dan menganggap pencerobohan (Israel) itu haram dari segi undang-undang dan kaedah antarabangsa,” katanya pada waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat [PH-Pulai] mengenai bentuk ancaman diterima Malaysia daripada negara-negara Barat yang menyokong Israel susulan pendirian Malaysia terhadap Palestin.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan menerima tekanan menyaksikan Duta Besar Malaysia di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara AS.
Katanya, Duta Besar Malaysia telah ditekan oleh jabatan negara itu mengenai pendirian Malaysia berkenaan isu kekejaman dan serangan zionis Israel terhadap rakyat di Palestin.
“Duta Besar kita di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Amerika Syarikat dan ditekan mengenai pendirian negara berkenaan isu Palestin,
“Bagaimanapun, saya menegaskan, sebagai negara berdaulat, Malaysia berhak menyuarakan pandangan dalam isu semasa khususnya melibatkan hak kemanusiaan sejagat,
“Meskipun berdepan dengan teguran atau amaran daripada mana-mana pihak, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan,” katanya lagi. -airtimes.my
#global #Malaysia #SaveGaza #palestin #israel #airtimes #DSAI