BANGKOK, 21 OKT – Kerajaan Thailand memutuskan untuk membeli kapal perang baharu dari China untuk kegunaan tentera laut negara itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Thailand, Sutin Klungsang.
Menurut beliau, kapal frigat tersebut akan diperolehi dari China. Sutin turut menegaskan rancangan perolehan kapal selam dari China digantung untuk sementara waktu.
“Projek perolehan kapal selam bukannya dibatalkan tetapi digantung untuk satu tempoh,
“Ia akan dilaksanakan semula sekiranya kerajaan bersedia untuk melakukannya,” kata Sutin yang dilaporkan oleh media Thailand.
Sebelum ini, perolehan kapal selam S26T Yuan dari China untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) dilanda kontroversi berikutan kegagalan untuk mendapatkan enjin diesel dari Jerman. Enjin diesel tersebut merupakan antara perkara penting yang digariskan oleh RTN dalam perolehan tersebut.
Namun begitu, sekatan antarabangsa telah menyebabkan penjualan enjin diesel dari Jerman ke China tidak dapat dilakukan.
Beijing dalam pada itu mencadangkan enjin buatan mereka sebagai menggantikan komponen dari Jerman. Akan tetapi, Thailand enggan menerima cadangan China kerana bimbang ia tidak mampu untuk mencapai kehendak yang digariskan.
Walaupun beberapa siri rundingan telah dilaksanakan, RTN telah mengemukakan 2 cadangan iaitu – meneruskan perolehan enjin kapal selam dari China ataupun membeli kapal perang baharu. – airtimes.my
#AirTimes #Thailand #RTN #China