MOSKOW, 21 OKT – Kerajaan Rusia menyuarakan kebimbangan mereka akan konflik yang berlaku di Gaza akan bertambah buruk.
Perkara tersebut disuarakan oleh pihak Kementerian Luar Rusia.
Menurutnya, peperangan di Gaza dilihat akan terus berlarutan dengan melihat angka kematian di pihak Palestin dan Israel.
“Kami memerhati perkembangan Palestin-Israel dengan penuh rasa bimbang,” kata Alexey Zaitsev, Jurucakap Kementerian Luar Rusia seperti yang dilaporkan oleh TASS.
Menurut beliau, seramai 19 rakyat Rusia terkorban dan 2 lagi menjadi tahanan di Gaza. Kremlin turut dilaporkan sedang berunding dengan Hamas berhubung penahanan tersebut.
Alexey turut mengkritik kehadiran kapal perang Amerika Syarikat yang dilihat akan memburukkan lagi keadaan.
“Peningkatan kehadiran tentera oleh negara ketiga di zon konflik sudah tentu akan membawa lebih ketegangan,” katanya.
Beliau menjelaskan kenyataan provokatif oleh pihak tertentu secara tidak langsung akan menyebabkan ketegangan bukan sahaja di Gaza tetapi melibatkan negara-negara serantau.
“Kami percaya ini bukanlah satu jalan yang mudah untuk menyelesaikan konflik dan mencapai keamanan,
“Di pihak kami (Rusia), kami tetap mendukung kepada pendirian dalam penyelesaian dari segi diplomatik dan politik di Timur Tengah dengan mengadakan rundingan Palestin-Israel,
“Perkara ini akan mewujudkan sebuah negara Palestin merdeka mengikut lunas undang-undang antarabangsa,” katanya.
Pada ketika ini, Amerika Syarikat telah menghantar 2 ketumbukan kapal induknya, USS DWIGHT D. EISENHOWER dan USS GERALD R. FORD ke timur Laut Mediterranean selepas konflik Palestin-Israel tercetus.
Lantaran daripada itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengarahkan pihak tentera udaranya untuk melakukan rondaan di Laut Hitam bagi mengimbangi kehadiran ketumbukan Tentera Laut Amerika Syarikat.
Rondaan tersebut disifatkan sebagai tetap dengan melibatkan kehadiran jet pejuang MiG-31K yang dilengkapi misil hipersonik Kinzhal. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Global #Rusia #Palestin #Gaza