NEW YORK, 21 OKT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan 30 peratus kediaman di Gaza telah musnah dan rosak berikutan siri serangan yang dilancarkan oleh Israel.
Perkara tersebut dijelaskan oleh pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB dalam satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Menurut laporan itu, kemusnahan skala besar dilaporkan di kawasan kejiranan di Beit Hanoun, Beit Lahia, Shuja’iyeh, dan Abbassan Kabeera.
“Tinjauan di kawasan utara Gaza oleh Pusat Satelit PBB menunjukkan 927 bangunan telah musnah dan 4,337 lagi mengalami kerosakan teruk,
“Angka ini merangkumi 15 peratus daripada jumlah bangunan yang telah dibina di kawasan itu,” katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa Gaza turut melaporkan kemusnahan 12,845 unit rumah dan 9,055 lagi tidak boleh didiami.
Dalam pada itu, laporan OCHA PBB turut menyatakan angka kematian di kalangan masyarakat Palestin di Gaza adalah lebih teruk berbanding Perang Gaza 2014.
Menurutnya, sehingga 20 Oktober, angka kematian warga Palestin di Gaza adalah seramai 4,137 orang, termasuk 1,661 kanak-kanak dan 908 wanita.
“Jumlah kematian dalam tempoh 13 hari konflik di Gaza adalah 84 peratus lebih tinggi berbanding dari apa yang berlaku pada tahun 2014,
“Perang Gaza 2014 menyaksikan 2,251 kematian di kalangan warga Palestin,” kata laporan itu.
OCHA turut menjangkakan seramai 1.4 juta penduduk Gaza telah menjadi pelarian dengan 544 ribu berlindung dalam 147 buah fasiliti agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA). – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Palestin #Gaza