SEOUL, 19 OKT – Malaysia sedang meneroka peluang kerjasama pertahanan dari segi ketenteraan dan industri dengan Korea Selatan.
Perkara tersebut merupakan antara perbincangan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dengan rakan sejawatannya, Shin Won-sik dalam lawatan 2 hari beliau ke Korea Selatan.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, pertemuan kedua-dua Menteri Pertahanan adalah untuk membincangkan hala tuju pemerkasaan kerjasama antara Malaysia-Korea Selatan.
“Pertemuan dengan Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea, kedua-dua pemimpin telah memberikan komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada dan meneroka peluang kerjasama pertahanan yang baharu,
“Ini termasuk dalam aspek kerjasama ketenteraan serta industri pertahanan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, perbincangan antara kedua-dua pemimpin turut menyentuh peranan Malaysia dan Republik Korea selaku Pengerusi Bersama dalam bidang Keselamatan Siber bagi Kumpulan Kerja Pakar ASEAN Defence Ministers’ Meeting-Plus (ADMM-Plus).
Sementara itu, Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea yang menyambut baik perolehan jet pejuang FA-50 dari negara itu.
“Menteri (Shin) telah meminta untuk meningkatkan kerjasama yang penting antara Korea Selatan-Malaysia dengan menubuhkan platform dialog di Kementerian Pertahanan masing-masing,
“Pihak Malaysia telah mencadangkan kerjasama di pelbagai peringkat termasuk program pertukaran dan juga kerjasama teknologi,
“Ini berdasarkan memorandum persefahaman pertahanan yang telah ditandatangani pada tahun lalu,” kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menyatakan Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea menyuarakan kerjasama antara negara bagi “membendung sebarang usaha yang menggunakan kekerasan” untuk mengancam keamanan serta kestabilan serantau.
“Menteri Pertahanan Malaysia menyatakan kepentingan ASEAN dalam memacu kerjasama serantau dalam menghadapi persekitaran global yang tidak menentu,
“Malah, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara ASEAN dan Korea Selatan,” kata kenyataan itu.
Menteri Pertahanan Malaysia turut dijemput untuk menghadiri Seoul Defense Dialogue (SDD) 2023 dan Seoul Aerospace & Defense Exhibition (ADEX) 2023 yang sedang berlangsung.
“Penyertaan delegasi Malaysia ke SDD 2023 dan ADEX 2023 adalah bagi menzahirkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus mengukuhkan kerjasama pertahanan bersama Republik Korea,” kata Kementerian Pertahanan Malaysia.
Jelasnya, Menteri Pertahanan turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles; Menteri Negara Kanan di Kementerian Pertahanan Singapura, Heng Chee How; Menteri Negara Kanan di Kementerian Pertahanan United Kingdom, Baroness Goldie DL; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #KoreaSelatan #Pertahanan