Home Pertahanan dan Keselamatan Lebih 18,000 veteran ATM berpencen, tidak berpencen terima bantuan sara hidup – Adly Zahari

Lebih 18,000 veteran ATM berpencen, tidak berpencen terima bantuan sara hidup – Adly Zahari

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 OKT – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama ada berpencen atau tidak berpencen terbela.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sehingga kini, seramai 18,786 veteran ATM yang berpencen dan tidak berpencen telah menerima bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM67.6 juta.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan sebagai salah satu usaha untuk memastikan kebajikan warga veteran ATM sentiasa terpelihara, selain kementerian berusaha memperkasakan ekonomi veteran.

“MINDEF juga menyediakan sumbangan khairat kepada anggota dan juga tanggungannya yang bernilai RM3,000 bagi veteran dan RM1,500 bagi keluarga. Setakat ini kita telah membelanjakan sebanyak RM455,000,

“Bagi aspek kesihatan pula, MINDEF memperuntukkan sebanyak RM103 juta bagi tujuan rawatan dan juga ubat-ubatan serta alat-alat yang terkait dengan perubatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian, bagi menjawab soalan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) yang meminta kementerian menyatakan skop pemerkasaan yang sedang dilaksanakan secara menyeluruh terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup veteran angkatan tentera sama ada yang berpencen atau tidak berpencen.

Mengulas lanjut, Adly berkata, bagi aspek perumahan, ada 3 inisiatif yang dilaksanakan merangkumi pembinaan rumah baru sebanyak 40 buah rumah, pembaikan rumah anggota dan memastikan satu anggota mempunyai satu rumah.

Tambahnya, dari segi pendidikan pula, kementerian telah memperuntukkan bantuan pendidikan bagi anak-anak veteran di peringkat rendah dan menengah sebanyak RM557,000.

“Kita juga menyediakan bantuan RM1,000 bagi Diploma dan RM1,500 pada di peringkat ijazah,

“Itu inisiatif kita kemukakan. Di samping itu seperti mana diumumkan dalam belanjawan, kerajaan putuskan anggota veteran diberi bantuan khas RM1,000 melibatkan tambahan peruntukan RM213 juta,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #VeteranATM #Mindef

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?