KUALA LUMPUR, 16 OKT – Semua Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan untuk memasang peranti bagi tujuan membuat siaran langsung di platform media sosial masing-masing.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua Ahli Parlimen mematuhi Peraturan Mesyuarat 35 (1) yang mana percakapan semua Ahli Parlimen perlu diarahkan kepada pengerusi dewan.
“Sejak kebelakangan ini, telah meningkatnya trend Ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di meja untuk buat siaran langsung di media sosial semasa ucapan ketika sesi persidangan berlangsung,
“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35 (1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat ‘live streaming’ (penstriman langsung) dalam Dewan Rakyat,” katanya sebelum sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini beberapa Ahli Parlimen antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) sering membuat siaran langsung di platform media sosial menggunakan beberapa buah peranti.
Mengulas lanjut, beliau berkata, persidangan Dewan Rakyat boleh ditonton melalui YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media massa yang lain. -airtimes.my
#semasa #airtimes #Parlimen #DewanRakyat