Home SemasaGlobal “Andai kami ranap, ceritakan keindahan kami dan Palestin kepada generasi akan datang” – Gaza

“Andai kami ranap, ceritakan keindahan kami dan Palestin kepada generasi akan datang” – Gaza

by M.Daim

GAZA, 14 OKT – “Kami tidak pasti kita boleh berhubung lagi selepas ini”

Itu adalah mesej yang diterima oleh pihak pengurusan bandar Barcelona, Sepanyol dari rakan mereka di Gaza.

25 tahun lalu, Gaza dan Barcelona diisytiharkan sebagai Bandar Kembar. Namun, situasi di bandar Palestin itu semakin meruncing.

“Jika kami lenyap dari muka bumi ini, tolong ceritakan tentang kami kepada generasi akan datang, betapa cantik dan indahnya penduduk Palestin – bagaimana kami berkait dengan tanah air kami dan perjuangannya,” kata surat yang ditandatangani oleh Pengarah Kerjasama Antarabangsa dari Majlis Perbandaran Gaza, Mohammed Al-Shaqra.

Surat yang diberikan kepada Majlis Perbandaran Barcelona telah didedahkan oleh media tempatan di bandar Sepanyol itu. Surat dikeluarkan tidak lama selepas Israel mengeluarkan arahan kepada penduduk Gaza untuk berpindah.

Arahan dari Tel Aviv itu memberikan bayangan kepada kemungkinan serangan ofensif Israel untuk memasuki Gaza, bagi mendepani kumpulan Hamas dan lain-lain.

Surat yang dikeluarkan oleh Mohammed bukanlah satu-satunya suara yang disampaikan dari Gaza sebagai mesej terakhir kepada dunia.

Rata-rata penduduk Gaza menyampaikan ‘wasiat’ dan pesanan mereka kepada dunia melalui akaun media sosial masing-masing.

“Saya Said, saya telah hidup di Gaza untuk 31 tahun. Mungkin hari ini adalah hari terakhir saya. Kami berbangga sebagai warga Palestin sehingga hembusan nafas terakhir,

“Saya tidak akan maafkan dunia – Timur dan Barat untuk apa yang berlaku akan berlaku kepada kami. Harap gambar kami akan menghantui anda semua,” kata Said Shoaib di akaun Twitter beliau.

Walaupun itu bukanlah ciapan terakhir, ianya merupakan mesej kepada dunia bahawa nyawa penduduk Gaza ibarat dihujung tanduk kerana mereka akan menjadi collateral damage dengan serangan balas Israel.

Melihat kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, angka kematian menghampiri paras 2,000 orang.

Sistem kesihatan Gaza sudah pun berada di tahap kritikal dan krisis kemanusiaan semakin meruncing. Bekalan elektrik dan air yang telah disekat telah menyebabkan hospital dan pusat kesihatan mengalami kesukaran untuk merawat mangsa.

Bekalan elektrik dan juga khidmat perubatan terpaksa dicatu. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan situasi ini adalah amat buruk dan umpama bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa.

Lebih membimbangkan, arahan berpindah oleh tentera Israel tidak akan mengubah nasib pesakit di hospital kerana mereka tidak mampu untuk dibawa keluar dalam tempoh masa yang singkat. Malah, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkongsikan suara para petugas perubatan yang enggan meninggalkan pesakit mereka.

“Saat yang mendukacitakan apabila pasukan petugas perubatan Gaza membuat panggilan untuk mengucapkan selamat tinggal dan enggan meninggalkan pesakit,

“Kami akan terus berada di sini dan memberikan khidmat kepada yang memerlukan,” kongsi PRCS di akaun media sosial mereka.

Menurut WHO, pihak Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan mereka tidak mampu untuk membawa keluar pesakit dari hospital kerana risiko nyawa. Ini terutamanya melibatkan pesakit yang mengalami kecederaan parah dan memerlukan alat bantuan.

Situasi yang genting ini turut dikongsikan oleh First Minister of Scotland (setara jawatan Perdana Menteri), Humza Yousaf dalam satu kiriman video di Twiter.

“Ini mungkin video terakhir saya, ramai orang telah pun berpindah (dari bandar Gaza),

“1 juta penduduk, tiada makanan, tiada air dan mereka (Israel) masih melancarkan serangan terhadap penduduk Gaza,

“Apa yang bermain dalam fikiran saya adalah – para pesakit dalam hospital tidak dapat dibawa keluar,

“Di manakah kemanusiaan? Di manakah hati kemanusiaan di seluruh dunia, yang membiarkan situasi ini terus berlaku?

“Semoga Tuhan menyelamatkan kami. Selamat tinggal,” kata Elizabeth El-Nakla, ibu mertua kepada Humza dalam satu kiriman video.

Suara oleh Elizabeth antara yang terbuku di Gaza. Menurut Humza, ibu mertuanya berada di Gaza dan merupakan bekas jururawat dari Dundee, Scotland.

“Dia (Elizabeth) telah diminta untuk berpindah seperti penduduk Gaza yang lain, tetapi ke mana mereka boleh pergi?” kata Humza.

WHO menyatakan sebanyak 34 serangan dilancarkan terhadap pusat khidmat kesihatan di Gaza semenjak Sabtu lalu.

“11 petugas kesihatan disahkan terkorban dan 16 lagi cedera,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Oktober.

Tambahnya, sebanyak 19 buah pusat kesihatan dan 20 ambulans musnah dalam siri serangan yang dilancarkan oleh Tel Aviv. Serangan terhadap pusat kesihatan telah pun berlaku semenjak hari pertama serangan balas oleh Israel.

Hospital Indonesia di Beit Lahiya merupakan antara lokasi terawal terkena serangan. Kejadian pada 7 Oktober itu telah meragut nyawa seorang jururawat dan pemandu ambulans.

#AirTimes #Malaysia #Gaza #Palestin

Related Articles

Leave a Reply