KUALA LUMPUR, 12 OKT – Duta Besar Palestin, Walid Abu Ali hari ini menyatakan masyarakat Palestin dari segenap pelusuk dunia mendoakan Malaysia sentiasa aman, selamat dan bersatu.
Beliau menyatakan perkara tersebut di lobi Parlimen semasa sidang media penyerahan bantuan kepada Palestin oleh kerajaan Malaysia.
“Sokongan berterusan rakyat Malaysia kepada Palestin bukannya sesuatu yang boleh dipersoalkan,
“Malaysia sentiasa menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap matlamat Palestin,
“Mewakili kerajaan Palestin, dan rakyat Palestin – di Gaza, Tebing Barat, Al-Quds dan diaspora – kami menghargai bantuan yang disampaikan oleh Malaysia,
“Kami berdoa kepada Allah swt agar Malaysia terus aman, bersatu, dan selamat,
“Kami berharap, pada suatu hari nanti, kami akan menerima kedatangan Malaysia di Al Aqsa, Insya Allah,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan Gaza berhadapan dengan situasi genting berikutan pengeboman berterusan oleh Israel.
“Kita telah mendapat maklum balas tentang bilangan kematian yang terus meningkat dan melebihi 1,000 orang,
“Ia melibatkan kawasan-kawasan yang dibom oleh pihak Israel,
“Kita amat sedih dengan apa yang berlaku kerana pengeboman yang berterusan sehingga ke saat ini tidak mengambil kira luna-lunas antarabangsa,
“Ini termasuklah pengeboman dan pemusnahan yang dilakukan ke atas kawasan-kawasan yang sepatutnya diperlihara – termasuk hospital, sekolah serta masjid,” katanya semasa sidang media.
Pada masa yang sama, Menteri Luar turut mengulas tindakan Tel Aviv memutuskan bekalan elektrik dan makanan sebagai satu tindakan zalim yang keterlaluan oleh Israel.
Zambry beberapa ahli parlimen yang mewakili parti masing-masing hadir untuk menyerahkan sumbangan awal bernilai RM1 juta kepada Palestin. Sumbangan dari Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) itu diserahkan oleh Menteri Luar kepada Walid Abu Ali. – airtimes.my