GAZA, 7 OKT – Angka korban di antara penduduk Gaza dan Israel dijangka akan meningkat.
Media Palestin melaporkan seramai 160 maut dan lebih 1,000 lagi cedera semenjak konflik antara Hamas-Israel tercetus pada hari ini.
Menurut laporan itu, angka tersebut adalah berdasarkan rekod hospital dan merangkumi bilangan yang terlibat dalam pertempuran serta serangan udara oleh Israel.
Sementara itu, agensi kesihatan Israel melaporkan seramai 40 orang maut dan 700 lagi cedera semenjak awal pagi tadi.
Laporan dari kedua-dua pihak menjangka angka korban dan cedera kian meningkat memandangkan situasi tidak menentu selepas serangan mengejut oleh Hamas.
Di Israel, pasukan keselamatan Tel Aviv melaporkan masih terdapat beberapa lokasi berhampiran Gaza masih dikuasai oleh Hamas. Pada masa yang sama, Tel Aviv enggan memberikan sebarang penjelasan berhubung anggota tentera dan penduduk Israel yang telah dibawa masuk ke dalam Gaza.
Hamas melaporkan pihak mereka telah berjaya menawan beberapa anggota tentera Israel dan merampas sejumlah aset kenderaan tempur berperisai selepas berjaya menawan satu pangkalan tentera di kawasan sempadan Gaza.
Hamas hari ini mengisytiharkan Operasi Amaliat Tufan Al-Aqsa (Operasi Badai/Taufan Al-Aqsa) dengan melancarkan serangan lebih 5,000 roket ke Israel. Serangan tersebut berlaku hampir serentak dengan operasi penyusupan gabungan antara Hamas dan Palestine Islamic Jihad ke beberapa kawasan Israel.
Serangan mengejut itu berlaku semasa hari cuti keagamaan Israel. Insiden tersebut telah mengundang kritikan kepada kerajaan Benjamin Netanyahu yang dilihat gagal menangani ancaman dari Gaza.
Pihak Tel Aviv kemudian mengisytiharkan perang terhadap Gaza dan melancarkan serangan udara. – airtimes.my
#AirTimes #Israel #Palestin