Home Pertahanan dan Keselamatan 37 usahawan veteran ATM terima geran RM5,000 sejak Julai – Timbalan Menteri Pertahanan

37 usahawan veteran ATM terima geran RM5,000 sejak Julai – Timbalan Menteri Pertahanan

by Bernama

IPOH, 7 OKT – Seramai 37 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat ini menerima geran keseluruhan berjumlah RM185,000 menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) yang dilaksanakan sejak Julai lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kesemua usahawan dari Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak itu menerima geran RM5,000 setiap seorang di bawah inisiatif Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata PUVET ATM yang dilaksanakan menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) memfokuskan kepada pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua dan keusahawanan.

“Agenda ini sejajar dengan Strategi Peningkatan Taraf Sosioekonomi Veteran ATM bagi membantu veteran dalam kelompok B40 untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya ketika berucap pada program PUVET ATM di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 17 veteran ATM di negeri ini menerima geran berkenaan.

Sementara itu, Adly berkata Kementerian Pertahanan menyasarkan 200 usahawan veteran ATM menyertai PUVET ATM tahun depan.

“Bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati sepenuhnya, skop kerjasama rentas kementerian dan agensi akan diperluas bersama Kementerian Ekonomi serta beberapa agensi yang dapat membantu veteran dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.

“PERHEBAT juga dalam proses memeterai MoU (memorandum persefahaman) bersama Agro Bank bagi menyediakan skim pembiayaan mikro berdasarkan konsep Islam khusus untuk veteran ATM dengan kadar keuntungan pembiayaan yang amat kompetitif dalam pasaran,” katanya.

Adly berharap veteran ATM terus merebut peluang yang disediakan menerusi PUVET ATM dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian serta agensi lain agar dapat memajukan lagi perniagaan seterusnya meningkatkan sosioekonomi mereka.

Dalam pada itu, Adly berkata PERHEBAT yang berperanan sebagai pemangkin kerjaya kedua veteran ATM akan memantau kemajuan usahawan veteran yang terlibat dalam inisiatif tersebut.

“Sehingga kini, PERHEBAT telah melatih dan memantau 22,398 veteran yang tamat latihan peralihan sejak 2018 hingga 2022. Daripada 11,619 orang dihubungi, seramai 7,891 veteran telah bermajikan, bekerja sendiri dan memilih untuk menjadi usahawan,” katanya.

Menurut Adly, di Perak, PERHEBAT sedang memantau 2,453 veteran yang tamat latihan peralihan dengan 947 orang berjaya dihubungi iaitu 543 veteran terlibat dalam perniagaan, 141 veteran bekerja bermajikan manakala 263 veteran masih belum mempunyai kerjaya kedua atas pelbagai faktor. – BERNAMA

#Malaysia #Pertahanan #Veteran

Related Articles

Leave a Reply