KUALA LUMPUR, 3 OKT – Isu pertindihan tuntutan dan pertikaian Laut China Selatan wajar diselesaikan secara aman.
Perkara tersebut disuarakan oleh Panglima Angkatan Tentera Australia, Jeneral Angus Campbell.
“Semua negara wajar menyelesaikan isu dan pertikaian dengan aman serta mengikut lunas undang-undang antarabangsa,
“Ia merupakan asas kepada semua negara untuk merasa selamat dan membina kemakmuran di rantau ini,” kata Angus semasa sidang media selepas menghadiri Persidangan Panglima Angkatan Tentera FPDA ke-22 (22nd FPDA Defence Chiefs’ Conference, FDCC) di InterContinental, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pihaknya turut mahukan keselamatan dan kemakmuran serantau berjaya dicapai.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pula menegaskan Malaysia berpegang kepada pendirian pemusatan ASEAN (ASEAN Centrality) untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan.
Dalam pada itu, Angus turut menyatakan Australia dan beberapa negara lain telah hadir di Laut China Selatan.
“Perkara (kehadiran) tersebut telah dilakukan selama beberapa dekad dan kami (Australia) akan terus berbuat demikian mengikut lunas undang-undang antarabangsa seperti mana (dilakukan) oleh negara-negara lain,” katanya.
Menyentuh kerjasama Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA), Panglima Angkatan Tentera Australia menyatakan pihaknya bersama negara anggota lain sentiasa bekerjasama secara rapat.
“FPDA telah ditubuhkan lebih 50 tahun lalu dan berpegang kepada prinsip remit, relevance dan reassurance,
“Kesemua negara anggota FPDA bekerjasama dalam menumpukan kepentingan keselamatan di Malaysia serta serantau,
“Ia dilakukan melalui latihan komprehensif yang telah dilaksanakan sepanjang tahun,” jelas Angus. – airtimes.my