MANILA, 3 OKT – Latihan ketenteraan bersama Filipina-Amerika Syarikat, Eksesais SAMASAMA sedang dilaksanakan di kawasan perairan Manila, Luzon.
Eksesais ini dilaksanakan secara tahunan oleh angkatan laut kedua-dua negara.
Panglima Tentera Laut Filipina, Vice Admiral Toribio Adaci Jr menyatakan eksesais ini meningkatkan keupayaan tempur bersama Tentera Laut Filipina (Philippine Navy, PN) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).
Menurut beliau, Eks SAMASAMA turut meningkatkan keupayaan dan kemahiran PN dalam mempertahankan kedaulatan perairan Filipina serta hadapi ancaman bukan tradisional di kawasan sempadan.
“Eks SAMASAMA merupakan platform penting untuk PN meningkatkan keupayaan dan kemampuan tempur dalam pelbagai dimensi peperangan laut,
“Ini termasuklah peperangan anti kapal selam sehinggalah peperangan elektronik,” kata Toribio yang dipetik oleh agensi PNA.
Eksesais ini turut melibatkan kehadiran tentera laut dari Kanada, Jepun, United Kingdom, Perancis dan Australia.
Anggota tentera laut dari Indonesia dan New Zealand turut hadir sebagai pemerhati.
Eksesais ini telah bermula pada 2 Oktober dan dijangka berakhir pada 13 Oktober ini. – airtimes.my
#AirTimes #Filipina #SamaSama