WARSAW, 24 SEPT – Hubungan antara Poland dan Ukraine semakin tegang berikutan pertelagahan terhadap sekatan import bijirin dari negara yang dilanda kancah peperangan.
Poland telah mengenakan sekatan import bijirin termasuk gandum dan jagung dari negara jirannya.
Warsaw berpandangan kebanjiran produk agrikultur dari Ukraine telah menyebabkan kejatuhan harga pasaran tempatan yang sekaligus mengancam ekonomi petani negara itu.
Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki menegaskan beliau akan mengenakan sekatan tersebut walaupun tidak mendapat restu dari Suruhanjaya EU.
“Kita kenakan sekatan demi kesejahteraan petani Poland,” katanya ketika kempen pilihanraya yang dipetik oleh media Poland.
Pada minggu lalu, beliau telah menyuarakan kebimbangan terhadap kebanjiran bijirin dari Poland sekiranya sekatan EU terhadap produk tersebut tidak dilanjutkan.

Warsaw menekankan keputusan mereka adalah perlu dilakukan demi kebajikan petani Poland.
Sekatan yang dilakukan oleh EU melibatkan beberapa buah negara lain termasuk Hungary, Slovakia, Bulgaria dan Romania. Sekatan dibuat semenjak April lalu dan tamat pada 15 September 2023.
Walaubagaimanapun, sekatan tersebut tidak melibatkan produk eksport yang melalui negara-negara terbabit bagi membantu penghantaran hasil bumi Ukraine ke pihak ketiga. Ini bagi membantu negara timur itu yang terkesan dengan perang untuk menjana ekonomi.
Ukraine turut mencabar tindakan Poland dengan mengambil tindakan undang-undang di Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa selepas Warsaw meneruskan sekatan dagangan.
Langkah yang diambil Poland juga telah menyebabkan kemarahan kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang menyifatkan “beberapa kawan di Eropah berpura-pura untuk bersolidariti dengan mengenakan sekatan”.
“Mereka secara tidak langsung menyokong Rusia dengan mengharam penjualan bijirin Ukraine,” kata Zelensky semasa menyampaikan ucapan di Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Lantaran dari ucapan tersebut, Poland telah memanggil Duta Ukraine bagi menyuarakan protes terhadap kenyataan Zelensky.
Beberapa jam kemudian, Poland mengumumkan keputusan mereka untuk tidak membekalkan sebarang persenjataan kepada Ukraine.

Kenyataan oleh Presiden Ukraine, Zelensky di PBB telah menimbulkan kemarahan kepada Warsaw.
Keputusan tersebut disifatkan sebagai satu kejutan memandangkan Poland adalah antara negara yang paling rapat menyokong Ukraine ketika menghadapi penaklukan Rusia.
“Kita tidak perlu membekalkan persenjataan kepada Ukraine kerana kita perlu melengkapkan Poland dengan senjata moden,” kata Perdana Menteri Poland.
Poland sebelum ini membekalkan 320 buah kereta kebal dan 14 jet pejuang MiG-29 kepada Ukraine.
Mateusz turut memberi amaran kepada Kyiv untuk “tidak menimbulkan ketegangan atau sekatan tambahan produk”. – airtimes.my