KUCHING, 21 SEPT – Kementerian Pertahanan telah memperuntukan lebih RM5 juta untuk pembinaan rumah baharu dan kerja-kerja pembaikan unit kediaman veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihaknya juga telah meluluskan pembinaan 44 rumah baharu di seluruh negara pada tahun tahun ini.
“Sebahagian daripada pembiayaan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan sebahagian lagi melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kos pembinaan bagi di Semenanjung RM85,000 manakala Sabah dan Sarawak RM95,000,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan rumah di bawah program Inisiatif Perumahan veteran ATM peringkat Negeri Sarawak di Kampung Tanjung Bowang, Singai, hari ini.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, penerima kunci rumah baharu tersebut, Zakaria Abdullah merupakan veteran ATM tidak berpencen yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300.00 sebulan.
Adly Zahari turut meluangkan masa meninjau satu lagi projek perumahan veteran ATM di bawah skim yang sama iaitu Rumah Bina Baharu milik Encik Johea anak Ligung yang terletak di Kampung Bokah, Lundu.
Projek perumahan tersebut telah memulakan pembinaannya pada 23 Julai 2023 dijangka siap sepenuhnya pada 22 Oktober 2023.
Menurut Kementerian Pertahanan, kriteria pemilihan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM adalah terbuka kepada veteran atau balu yang berpendapatan isi rumah di bawah jadual Pendapatan Garis Kemiskinan yang telah ditetapkan.
Tambah kenyataan itu, melalui kuota program ini, veteran ATM akan menerima 2 peringkat bantuan iaitu subsidi di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat yang dikawal selia oleh SPNB berjumlah RM20,000 dan bantuan perumahan JHEV ATM berjumlah RM 65,000 untuk Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sarawak berjumlah RM75,000.
“Program Perumahan ini adalah merupakan antara inisiatif madani Kementerian Pertahanan dalam merealisasikan pelaksanaan dan halatuju Kertas Putih Pertahanan (KPP) dengan memastikan kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM terus terbela dan sentiasa terpelihara,
“Ia juga sejajar dengan jasa bakti dan pengorbanan para veteran ATM selain salah satu dari strategi inisiatif Peningkatan Kualiti Hidup di bawah Pelan Strategik Mindef dalam Teras 7. I,” jelas kenyataan itu lagi. -airtimes.my