Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Eks Pacific Partnership 2023 perkuat keupayaan bersama pelbagai negara hadapi bencana alam

#Pertahanan: Eks Pacific Partnership 2023 perkuat keupayaan bersama pelbagai negara hadapi bencana alam

by M.Daim

KUANTAN, 16 SEPT – Eksesais Pacific Partnership 2023 (Eks PP23) telah selesai dilaksanakan di sekitar Kuantan selepas 10 hari berlangsung.

Majlis Penutup Eks PP23 telah disempurnakan oleh Mission Commander, Captain Claudine Caluori dari US Navy di kapal USS PEARL HARBOR di , New Deep Water Terminal, Kuantan,

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana telah menjadi tuan rumah kepada Pacific Partnership 2023 dan membenarkan kami untuk bertukar pengetahuan serta kemahiran sepanjang eksesais,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup eksesais pada Jumaat.

Menurut beliau, eksesais ini memupuk kerjasama antarabangsa dan daya saling operasi melalui usaha bersama bagi membina keupayaan serantau dalam menghadapi bencana alam.

Jelasnya, interaksi bersama penduduk di Kuantan dan juga bersama anggota tentera laut dari Korea Selatan sepanjang eksesais ini akan menjadi kenangan yang terindah untuk beliau sepanjang pelaksanaan eksesais ini.

“Eksesais Pacific Partnership pupuk kerjasama pelbagai negara dalam menghadapi bencana alam” Mission Commander, Pacific Partnership 2023, Captain Claudine Caluori- . Foto: Air Times/M. Daim

Kuasa Usaha (Charge’ d’Affaires) Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Manu Bhalla pula menyatakan eksesais ini mempamerkan kerjasama pelbagai negara dalam memperkukuhkan usaha dan kapasiti bagi menghadapi bencana alam.

“Ini merupakan kali kelima Malaysia terlibat dalam Eks Pacific Partnership,

“Melihat kehadiran beberapa buah kapal seperti USS PEARL HARBOR, USCGC MUNRO serta USS CHARLESTON, ia mempamerkan kerjasama rapat antara Amerika Syarikat dan Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua negara mempunyai kerjasama pertahanan yang baik.

Eks Pacific Partnership 2023 pamer kerjasama rapat antara Amerika Syarikat dan Malaysia – Charge’ d’Affaires Kedutaan Amerika Syarikat, Manu Bhalla. Foto: Air Times/ M Daim

Sementara itu, Asisten Ketua Staf Bahagian (AKS) J5 Markas Angkatan Bersama (Mk AB), Laksamana Pertama Muhammad Rodhi Ariffin TLDM menjelaskan pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang Eks PP23 berlangsung.

“Dalam tempoh 10 hari, kita telah berjaya melaksanakan 16 aktiviti berkaitan dengan HADR, 35 perubatan, dan 1 projek kejuruteraan,” katanya semasa menyampaikan ucapan majlis.
Menurut beliau, eksesais berjalan dengan lancar dan telah mencapai objektif perlaksanaannya.

Mk AB dalam satu kenyataan berkata, Eks PP23 merupakan eksesais tahunan di bawah inisiatif oleh United State Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan dilaksanakan oleh United States Pacific Fleet (USPACFLT).

Asisten Ketua Staf Bahagian (AKS) J5 Markas Angkatan Bersama (Mk AB), Laksamana Pertama Muhammad Rodhi Ariffin TLDM menyampaikan ucapan bersempena majlis penutup Eks Pacific Partnership 2023. Foto: Air Times/M Daim

Tambah kenyataan itu, eksesais ini meningkatkan keupayaan dan saling khidmat di antara angkatan tentera, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan negara-negara yang terlibat di dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan HADR.

“Ia melibatkan hampir 1,500 peserta dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand, Kanada, Chile, Japan dan Korea Selatan,” kata kenyataan itu.

Rodhi menjelaskan eksesais ini turut melibatkan beberapa agensi tempatan dan juga institusi pendidikan.

Eks PP23 menyaksikan kehadiran 2 buah kapal pendaratan amfibi, USS PEARL HARBOR dari US Navy dan ROKS CHEON JA BONG dari Republic of Korea Navy (ROKN). – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply