KUALA LUMPUR, 1 Sept – Kerajaan menerusi Kementerian Luar disaran untuk memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan susulan penerbitan peta negara itu yang antaranya meliputi perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.
Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Alexander Lo Su Hyen berkata, tindakan menghantar nota bantahan sahaja tidak cukup.
“Gerakan menggesa kerajaan supaya bertindak lebih tegas dalam isu-isu kedaulatan Negara yang ditimbul oleh negara China baru-baru ini, iaitu perairan dan EEZ (zon ekonomi eksklusif) Malaysia dirangkumi dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan akan menghantar nota bantahan terhadap China susulan tuntutan negara itu di Laut China Selatan seperti digariskan dalam Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim Malaysia.
Wisma Putra pula sebelum ini memaklumkan, Malaysia tidak mengikhtiraf tuntutan China di Laut China Selatan dan sama sekali tidak mengikat Malaysia.
Mengulas lanjut, Lo yang juga pengerusi Gerakan Sabah mengingatkan bahawa provokasi yang dibuat terhadap negara ini, terutamanya dałam kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) di Sabah dan Sarawak perlu dihentikan kerana melibatkan kedaulatan negara.
“Gerakan memandang serius terhapad sebarang isu kedaulatan negara dan ingin menggesa Kerajaan PH BN untuk bertindak sedemikian untuk melindungi kedaulatan negara kita,” ujarnya. -airtimes.my