Home Semasa #Semasa: Agong zahir tahniah sambutan luar biasa Hari Kebangsaan 2023

#Semasa: Agong zahir tahniah sambutan luar biasa Hari Kebangsaan 2023

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan diatas penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang meriah serta luar biasa di Putrajaya, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan sambutan itu yang dijayakan dengan penglibatan jabatan termasuk agensi kerajaan serta pihak swasta.

Baginda bertitah, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat besar maknanya buat baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyambutnya buat kali terakhir selaku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Sambutan ini menjadi kenangan manis yang akan sentiasa dalam ingatan buat Seri Paduka Baginda berdua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang telah datang menyertai dan memberi sokongan untuk meraikan sambutan hari yang bersejarah itu.

Beliau turut menjelaskan, baginda amat kagum menyaksikan persembahan yang ditunjukkan oleh kesemua kontinjen serta peserta daripada pelbagai peringkat umur yang mempamerkan semangat kenegaraan dan cintakan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut bertitah semangat perpaduan dan patriotisme yang dipamerkan dalam setiap acara dan majlis yang dianjurkan di seluruh negara sangat membanggakan dan sewajarnya dipuji,

“Baginda berharap semangat yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum itu dapat memperkukuh lagi keharmonian negara,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut bertitah mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar kedaulatan Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan segala keberkatan dan keamanan yang berkekalan.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, lebih 100,000 orang membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Sambutan itu melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Acara tersebut juga disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan laman media sosial serta diraikan secara serentak di seluruh negara bermula pukul 7 pagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply