Home SemasaGlobal #Global: Tentera Udara Ukraine mula latih kendali jet pejuang F-16

#Global: Tentera Udara Ukraine mula latih kendali jet pejuang F-16

by M.Daim

KYIV, 20 Ogos – Umpama bulan jatuh ke riba, impian Ukraine untuk memiliki jet pejuang keluaran barat ketika menghadapi peperangan dengan Rusia hampir menjadi kenyataan.

Terbaharu, Kementerian Pertahanan Ukraine mengesahkan juruterbang dari angkatan negara itu telah pun menjalani latihan pengendalian jet pejuang F-16.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanannya, Oleksii Reznikov.

Menurut beliau, 11 buah negara rakan telah pun bersetuju untuk melaksanakan projek latihan tersebut bagi membolehkan Ukraine mengendalikan jet pejuang keluaran Amerika Syarikat itu.

Tambahnya, projek tersebut diterajui oleh Belanda dan Denmark bagi melaksanakan latihan kepada juruterbang, juruteknik serta jurutera khusus dalam pengendalian F-16.

“Sistem persenjataan jet pejuang merupakan antara aspek yang penting dalam isu ini,” kata Reznikov dalam siaran televisyen Ukraine, Channel 24.

Jelasnya, keputusan oleh negara rakan untuk memperlengkapkan sistem persenjataan F-16 yang akan dimiliki Ukraine perlu mendapatkan kelulusan dari Amerika Syarikat.

Latihan tersebut dijangka akan memakan masa selama 6 bulan.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara Ukraine, Leftenan Jeneral Mykola Oleshchuk menyatakan pihaknya sedang mempersiapkan fasiliti dan memperbaiki landasan yang sedia ada untuk mengoperasikan jet pejuang tersebut.

“Saya percaya pihak kami mampu untuk mengendalikan jet pejuang ini sebaik sahaja ia diserahkan kepada Ukraine,” katanya seperti dilaporkan oleh Ukrainska Pravda.

Beliau menambah, Ukraine sebelum ini mempunyai pengalaman dalam menyediakan fasiliti untuk F-16 dalam beberapa siri latihan ketenteraan sebelum tercetusnya Perang Ukraine-Rusia.

Washington sebelum ini meluluskan penghantaran jet pejuang F-16 dari Belanda dan Denmark ke Ukraine sebaik sahaja juruterbang dari negara bergolak itu selesai menjalani latihan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply