Home Semasa #Semasa: PRN 6 negeri bermula hari ini, penamaan calon di 173 pusat jadi tumpuan

#Semasa: PRN 6 negeri bermula hari ini, penamaan calon di 173 pusat jadi tumpuan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri bermula hari ini dengan 173 pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi ini.

Bakal calon mewakili parti-parti politik atau bertanding atas tiket Bebas pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai tempoh sehingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus di semua pusat penamaan calon.

Selain 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN itu merupakan kali pertama menyaksikan enam negeri berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen.

DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun diikuti Selangor yang mempunyai 56 kerusi pada 23 Jun, manakala Pulau Pinang (40 DUN), Kedah (36 DUN) dan Terengganu (32 DUN) masing-masing dibubarkan pada 28 Jun, sementara Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN, dibubarkan pada 1 Julai lepas.

Berdasarkan statistik SPR, seramai 9,773,571 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN enam negeri itu dengan Selangor seramai 3,747,057 pengundi, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi menerusi laman webnya malam tadi, meramalkan cuaca baik di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada sebelah pagi hari ini.

Hujan juga diramal berlaku di satu dua tempat di kawasan pedalaman di Selangor pada sebelah pagi manakala ribut petir di satu dua tempat diramal berlaku di Negeri Sembilan. — Bernama

Related Articles

Leave a Reply