KUALA LUMPUR, 10 Julai – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhasrat untuk mendapatkan Pesawat Amaran Awal dan Kawalan Udara (Airborne Early Warning and Control, AEW&C).
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Menurut beliau, Kementerian Pertahanan dan TUDM mengakui bahawa AEW&C merupakan sebuah aset yang berkeupayaan tinggi dalam pengawasan ruang udara.
“Sistem sensor dan platform komunikasinya melibatkan pelbagai domain yang diintegrasikan bersama perkhidmatan lain serta dapat menggandakan keberkesanan sesuatu operasi,” katanya menjawab soalan Senator Dato’ Husain Awang.
Menurut jawapan bertulis tersebut, TUDM telah merancang untuk memperoleh pesawat tersebut pada Fasa 3 CAP55.
“Perolehan tersebut dirancang di dalam 2 fasa iaitu pada Rancangan Malaysia ke-17 (RMKe-17) dan RMKe-18,
“Namun begitu, perolehan pesawat ini masih perlu mengikut keutamaan kerana ianya melibatkan kos yang tinggi,” katanya.
CAP55 atau Capability 2055 merupakan pelan jangka panjang pembangunan keupayaan TUDM.
Pada ketika ini, perancangan tersebut sedang memasuki fasa pertama (2021-2030). Fasa ini merangkumi 2 RMK iaitu RMKe-12 dan RMke-13.
RMke-17 dan RMKe-18 pula dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2045-2050 serta 2051-2055.
Pada ketika ini, CAP55 Fasa 1 memberikan fokus kepada perolehan pesawat rondaan maritim (MPA), pesawat tanpa pemandu aras sederhana ketahanan tinggi (MALE-UAS) dan pesawat tempur latihan (FLIT/LCA).
Selain daripada itu, fasa ini juga menggariskan keperluan perolehan Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh, Helikopter Utiliti dan Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD)
Pada ketika ini, beberapa perolehan di bawah Fasa 1 CAP55 telah pun dipenuhi. Ini dengan melihat perkembangan pemilihan pesawat KAI FA-50 sebagai FLIT/LCA, 2 buah ATR27 untuk MPA dan TAI ANKA untuk MALE-UAS.
Walaupun begitu, opsyen perolehan F/A-18 Hornet Kuwait dilihat tidak dapat dilaksanakan memandangkan negara Arab itu telah berhasrat untuk terus menggunakan pesawat tersebut dalam perkhidmatan mereka.
AEW&C merupakan kapal terbang yang dilengkapi dengan sistem radar bagi mengesan pesawat, kapal, kenderaan, misil dan projektil pada jarak jauh.
Selain daripada itu, pesawat itu turut bertindak sebagai pusat kawalan dan perintah di ruang udara. Malah, ia turut memainkan peranan dalam melakukan pemantauan dari ruang udara.
Sehingga kini hanya terdapat 2 buah negara yang memiliki pesawat AEW&C iaitu Singapura dan Thailand.
Tentera Udara Republik Singapura mengoperasikan Gulfstream G550.
Tentera Udara Diraja Thailand pula menggunakan SAAB 340 AEW&C, hasil perolehan pesawat tempur Gripen. – airtimes.my