Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Program peduli veteran terus diperkasa

#Pertahanan: Program peduli veteran terus diperkasa

by Bernama

PENGKALAN HULU, 29 Jun – Kementerian Pertahanan akan memastikan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meliputi kesihatan dan pendidikan terus diperkasa menerusi Program Peduli Veteran (PPV).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kerajaan sentiasa menitik berat keperluan dan kepentingan warga veteran tentera bagi memastikan tiada yang terpinggir selaras pembangunan Malaysia MADANI.

Beliau berkata PPV akan memasuki fasa kedua di Semenanjung Malaysia dan pihaknya akan memperkukuhkan lagi program itu di Sabah dan Sarawak, Oktober ini.

“Setakat ini melalui PPV yang diperkenalkan kita telah beri 43 kelulusan bina rumah baharu untuk veteran termasuk 169 buah rumah dibaik pulih di seluruh negara serta 15,000 veteran menerima bantuan sara hidup (BSH),” katanya pada sidang media PPV Negeri Perak dekat sini , semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mej Jen Zambery Jefry Darus dan Pengarah Bahagian JHEV Cawangan Perak Mej Izhar Hayatul Israq Ahmad Zubir.

Adly berkata Kementerian Pertahanan sentiasa mencari jalan meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi membolehkan veteran ATM mendapat kerjaya kedua dengan pendapatan yang setimpal selepas bersara.

Justeru, beliau menyeru veteran yang ingin menceburi bidang keusahawanan, pertanian dan perladangan supaya tampil dan mendapatkan bantuan khidmat nasihat, geran padanan, dana pembiayaan serta fasiliti yang bersesuaian daripada JHEV.

“Kementerian dan ATM sentiasa meletakkan veteran sebagai keutamaan, jadi mereka boleh memilih bidang keusahawanan atau pekerjaan lain kerana paling penting mereka mempunyai pendapatan selepas berpencen dan bersara,” katanya.

Terdahulu, Adly mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada dua veteran tentera di sekitar Gerik dan Pengkalan Hulu yang menghidap beberapa komplikasi kesihatan, selain dua veteran ATM yang mengusahakan tanaman terung, cili serta ternakan lembu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply