Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Kerjasama ASEAN penting kekang pencerobohan sempadan negara – MINDEF

#Pertahanan: Kerjasama ASEAN penting kekang pencerobohan sempadan negara – MINDEF

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan ke atas sempadan negara dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan sentiasa memanfaatkan setiap ruang diplomasi pertahanan bagi menangani isu berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menjelaskan, perkara itu sejajar dengan agenda Kertas Putih Pertahanan (KPP) iaitu kedaulatan negara akan terus dipertahan sama ada di laut, darat dan udara.

“Kerjasama pelbagai hala melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama sub rantau dan kerjasama dua hala merupakan pendekatan terbaik dalam mengurus isu keselamatan tradisional serta bukan tradisional,

“Ia memerlukan penglibatan pelbagai pihak di peringkat kerajaan, ketenteraan dan agensi penguatkuasaan,

“Kesemua ini merupakan komponen penting dalam strategi perkongsian berwibawa seperti terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan negara dalam mempertahan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah berhubung solidariti negara ASEAN dalam memastikan rantau ini aman daripada campur tangan kuasa besar dunia, di Dewan Negara pada Rabu.

Dalam masa yang sama, Adly turut berkata, ketika ini ASEAN melaksanakan libat urus melalui pelbagai platform pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus dengan rakan dialog ASEAN iaitu Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea dan Rusia dan Forum Serantau Asean.

Jelasnya, libat urus berkenaan bagi meningkatkan kerjasama dan membina keyakinan sesama negara ahli dalam usaha mengurangkan ketegangan dan mengelak konflik di rantau Asia Tenggara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply