Home Semasa #Pertahanan: Anjing sebagai pengganda keupayaan dan ikhtiar untuk selamatkan nyawa

#Pertahanan: Anjing sebagai pengganda keupayaan dan ikhtiar untuk selamatkan nyawa

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=uDRy9v8O17A[/embedyt]

Sebut sahaja anjing, kita sudah pasti terbayangkan pelbagai jenis baka yang lazimnya dibela di kawasan rumah. Sudah tentu, kita akan terbayangkan peranan anjing di dalam bidang keselamatan dan juga pertahanan.

Dalam lipatan sejarah pertahanan negara, nama seperti Max dan Ben sudah tentu akan terbit di dalam fikiran.

Ben merupakan anjing baka Labrador yang menjadi sasaran pertama pengganas komunis dalam satu pertempuran di Hutan Simpan Kinta, Perak pada tahun 1974. Nasib yang sama telah menimpa kepada Ben, seekor anjing baka German Shepherd. Ben ditembak oleh pengganas komunis ketika mencari dan mengesan jerangkap samar yang dipasang oleh musuh negara.

Kisah Ben dan Max mungkin tidak dilantun sehebat dengan Hachiko tetapi jasa mereka kepada negara tidak boleh dipersoalkan.

Kedua-dua anjing ini merupakan sebahagian daripada ‘aset’ yang terdapat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Cawangan Anjing Perang Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).

Walaupun zaman telah berubah, peranan anjing dalam usaha menyelamatkan nyawa masih tetap diperlukan.

Anjing bukan sahaja memainkan peranan dalam pasukan tentera, malah ia turut digunakan dalam pasukan polis, agensi penguatkuasaan dan juga pasukan menyelamat.

Tragedi tanah runtuh Batang Kali telah membuka mata kepada masyarakat umum tentang pengorbanan makhluk ini dalam tugas-tugas yang penting. Dalam operasi menyelamat ini, sebanyak 11 anjing pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis, serta ATM telah digunakan.

Nama seperti Frankie dan Denti telah mula jadi sebutan kerana khidmat hero Batang Kali ini diperlukan dalam tugas menyelamat di gempa bumi Turkiye.

Di Afrika Selatan, anjing digunakan untuk mengekang kegiatan penyeludupan dan pemburuan haram.

Menurut Malcolm Greeff, Ketua Pegawai Eksekutif Paramount K9 Solutions, penggunaan anjing dalam tugasan sebegini memberikan kesan yang tersendiri kepada hasil operasi.

“Penggunaan dan pengendalian anjing secara betul sememangnya memberikan kesan yang ketara,

“Ini terutamanya dalam usaha membanteras kegiatan jenayah, memberikan perlindungan serta dalam usaha mencari dan menyelamat,” katanya kepada Air Times semasa Seminar Military Working Dog/K9 2023 baru-baru ini.

Seminar Military Working Dog/K9 2023 merupakan anjuran MSH Instruments Environmental and Technologies Sdn Bhd bersama Paramount International South Africa, Animal Medical Center KL dan Pets Corner Sdn Bhd.

Paramount K9 Solutions merupakan syarikat yang berpangkalan di Afrika Selatan yang terlibat dalam program pengendalian anjing dalam kepolisan dan ketenteraan.

Malcolm Greeff, Ketua Pegawai Eksekutif Paramount K9 Solutions turut hadir menyampaikan ceramah semasa Persidangan Military Working Dog/K9 yang diadakan baru-baru ini.

Menyentuh seminar yang diadakan, Malcom menyatakan ia merupakan satu platform yang penting dan memberi ruang kepada perkongsian ilmu pengetahyan.

“Dari sini, kita boleh melihat dan belajar dari cara pengendalian anjing di Malaysia,

“Adalah penting untuk kami mengetahui apa yang diperlukan oleh pihak berwajib di Malaysia,” katanya.

Jelas Malcom, persidangan sebegini wajar diteruskan bagi menambahkan lagi perkongsian ilmu dan juga membentuk rangkaian perhubungan dengan pelbagai pihak. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply