Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) yang baru melabuhkan tirainya mencatatkan kejayaan tersendiri dalam edisi penganjuran tersebut.
Dengan nilai urus niaga direkodkan sebanyak RM17.6 bilion, angka ini menjadi yang terbesar sepanjang pameran bertaraf antarabangsa yang memasuki edisi ke-16 ini.
Daripada jumlah tersebut sebanyak RM10.128 bilion melibatkan industri pertahanan dan komersial meliputi 20 dokumen kontrak, 21 surat setuju terima (SST) dan dua surat niat.

LIMA 2023 catat nilai dagangan RM17.6 bilion dengan RM10.128 bilion melibatkan industri pertahanan dan komersial meliputi 20 dokumen kontrak, 21 surat setuju terima (SST) dan dua surat niat.
Baki RM7.5 bilion lagi merupakan urus niaga di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi sektor komersial.
LIMA dianjurkan bersama dengan MOT yang mempunyai penglibatan sekitar 20 peratus manakala majoritinya di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai dominasi utama.
Penyertaan MOT dikatakan sebagai memberi nilai tambah lagi kepada acara ini, namun hakikatnya LIMA masih merupakan pameran pertahanan udara dan maritim seperti mana semasa mula dicetuskan 30 tahun lalu.
Ini kerana tarikan utama pada LIMA ialah pertunjukan udara pesawat-pesawat tentera, pameran statik pesawat dan pameran dewan melibatkan firma-firma pertahanan global.
Hanya sebahagian kecil sahaja melibatkan penyertaan yang mempunyai hubung kait dengan pengangkutan komersial.
Edisi LIMA 2023 dikelolakan oleh Alpine Integrated Sdn. Bhd. manakala EN Project (M) Sdn Bhd pada edisi sebelumnya.
Sejak pertama kali dianjurkan pada 1991, LIMA telah melalui transformasi panjang dan sedikit demi sedikit membantu pembangunan industri pertahanan negara.
Malah, semasa perasmian LIMA 1991, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan blue print Pembangunan Industri Aeroangkasa Malaysia atau Defense Aerospace Industry Malaysia (DAIM).
Cita-cita negara yang dicetuskan oleh Perdana Menteri ini sebenarnya sangat besar. Sama ada umum menyedari atau tidak, 15 tahun selepas itu negara telah menghantar angkasawan pertama.
Penghantaran angkasawan negara ini memang ada hubung kait dengan cita-cita meneroka kemajuan industri yang lebih tinggi.
Apatah lagi projek angkasawan ini dijalankan menerusi kerjasama Rusia sebagai salah satu timbal balas daripada program perolehan pesawat superioriti Sukhoi SU-30MKM.
Bagaimana pun, kos untuk menghantar angkasawan ini dibiayai negara sepenuhnya.

Kehadiran pasukan aerobatik Black Eagles dari Tentera Udara Korea Selatan merupakan antara tarikan utama LIMA 2023.
Di bawah Pelan Tindakan Agensi Angkasa Lepas Nasional pula, kerajaan beberapa tahun lalu telah merangka misi menghantar angkasawan kedua negara pada 2030.
Bagaimana pun, sejauh mana misi kedua ini akan dijayakan bakal ditentukan oleh masa dan keadaan.
Walaupun kemajuan industri aeroangkasa dan maritim negara kita kecil tetapi ia tetap memberi sumbangan besar khususnya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan dalam industri aeroangkasa dan pertahanan.
Seperkara yang menarik, LIMA merupakan destinasi membeli-belah pertahanan khususnya dalam memberi bayangan tentang apa yang sedang dirancang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebab itu antara kayu pengukur penganjuran LIMA ialah pada nilai ekonomi yang diterjemahkan menerusi perolehan atau sebarang kontrak yang ditandatangani.
Begitu juga pada LIMA 2023 yang mana lima kontrak utama dimeterai merupakan perolehan yang telah pun diumumkan lebih awal.

Perolehan Sukhoi Su-30MKM yang dilakukan dalam siri pameran LIMA telah membawa pulangan tersendiri kepada negara.
Perhatian adalah pada pembelian 18 buah pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA/FLIT) FA-50 daripada Korea Aerospace Industries, Ltd. (KAI) diikuti tiga unit Unmanned Aerial System (UAS) and Associated Support Category Medium Altitude Long Endurance (MALE) Fasa 1 daripada Turkish Aerospace Industries.
Turut diterima ialah dua unit Maritime Patrol Aircraft (MPA) Fasa 1 dan Associated Equipments dari Leonardo S.P.A. manakala empat buah helikopter Sikorsky UH-60A+ Blackhawk disewa untuk Pasukan Udara Tentera Darat.
Ini adalah sebahagian daripada jangkaan peruntukan kerajaan kepada Mindef pada tahun ini iaitu sebanyak RM17.4 bilion untuk dibelanjakan.
Pada edisi 2019, lebih RM4 bilion nilai kontrak antara kerajaan dan syarikat berkaitan pertahanan ditandatangani pada termasuk MoU, LOI dan LOA.
Kebanyakan bagi menguruskan aset sedia ada milik ATM terutama bagi kerja MRO pesawat dan kapal.
Pada LIMA 2017, nilai kontrak perolehan yang ditandatangani pula sebanyak RM3.8 bilion termasuk MoU, LOI dan LOA.

Diharapkan LIMA 2025 akan menjadi lebih baik berbanding edisi yang sebelumnya.
Angka tertinggi pula dicapai semasa LIMA 2015 yang menyaksikan sejumlah RM9.3 bilion kontrak, MoU, LOA dan LOI ditandatangani iaitu lebih tinggi berbanding edisi LIMA sebelum itu yang merekodkan nilai RM4.2 bilion.
Sebab itu jujurnya, untuk meletakkan satu-satu edisi LIMA secara khusus sebagai yang terbaik dan terhebat adalah sangat tidak objektif.
Mungkin kehebatan itu sekadar disebut pihak atasan dan menjadikan ia sebagai tajuk yang terpapar pada dada akhbar sebaik tamat penganjuran.
Ini kerana setiap penganjuran edisi LIMA sejak tahun 1991 mempunyai kelebihan, keistimewaan, daya tarikan malah juga kekurangan.
Tiada edisi LIMA yang benar-benar hebat untuk menandingi satu sama lain.
Dalam tempoh dua tahun lagi LIMA 2025 pula akan dilangsungkan. Justeru, kita mengharapkan kehebatan LIMA ini diteruskan dan menjadi tanggungjawab pihak yang dilantik sebagai penganjur menterjemahkan kehebatan tersebut. – airtimes.my