Home Pertahanan dan Keselamatan APMM temui 100 butir peluru meriam aktif dalam kapal pengangkut dari China

APMM temui 100 butir peluru meriam aktif dalam kapal pengangkut dari China

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 31 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemukan kira-kira 100 butir peluru dipercayai masih aktif dalam kapal pengangkut dari China, yang ditahan pada Ahad lalu.

Penemuan itu adalah hasil kerjasama APPM dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi yang bermula 8 pagi dan berakhir 4 petang itu melibatkan 2 aset APMM bersama 15 pegawai dan anggota.

Tambahnya, selain itu, turut terlibat adalah 12 anggota unit pemusnah bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, 7 anggota Jabatan Warisan Negara dan seorang anggota Jabatan Laut Malaysia.

“APMM tidak menolak kemungkinan kapal yang berdaftar dari Fuzhou, China ini terlibat dalam aktiviti pencurian bangkai kapal perang lama British di perairan Pahang,

“Kesemua peluru pelbagai saiz yang ditemui telah diambil dan dibawa oleh unit pemusnah bom untuk dimusnahkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebuah kapal pengangkut dari China telah bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur, Tanjung Siang pada Ahad dan didapati membawa besi buruk serta peluru meriam lama.

Nurul Hizam juga berkata, laporan lanjut berkaitan penemuan itu akan dikeluarkan oleh PDRM.

Sebelum ini, Bernama melaporkan sebuah kapal pengangkut telah bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur, Tanjung Siang di sini pada Ahad dan didapati membawa besi buruk serta peluru meriam lama.

Media turut melaporkan baru-baru ini bahawa terdapat sebuah kapal korek asing dikesan menjalankan operasi haram mengambil besi buruk dari bangkai kapal perang dunia kedua milik British yang karam di kawasan perairan Kuantan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply