Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: LIMA2023 – Di mana OPV KM Tun Fatimah?

Kolumnis: LIMA2023 – Di mana OPV KM Tun Fatimah?

by Zaki Salleh

Kurang 24 jam lagi, tirai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) akan dibuka menandakan pentas acara bertaraf antarabangsa ini bermula.

Melihat di perairan Langkawi, sebanyak 13 buah aset dan kapal perang tentera laut luar negara telah berlabuh siap untuk dipertontonkan kepada umum.

Turut berlabuh ialah kapal-kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan beberapa agensi keselamatan termasuklah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Walaupun kehebatan aset milik tentera luar tidak dinafikan, namun kemunculan aset tempatan lebih dinantikan atas rasa kebanggaan umum, apatah lagi jika ia dibina dalam negara.

Sebab itu, LIMA 2023 dilihat hilang satu daya tarikan apabila kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) APMM tidak dapat dipamerkan di Langkawi buat pertama kalinya kepada umum.

OPV 1 sepatutnya diterima APMM pada Mac lalu tetapi ditunda pada Julai depan.

Bagi dua kapal berikutnya iaitu OPV 2 dan OPV 3, ia akan diserahkan secara berperingkat-peringkat pada hujung tahun dan awal tahun hadapan.

Kapal-kapal ini dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal peronda China.

Sebelum ini media tempatan melaporkan bahawa punca kelewatan penerimaan kapal disebabkan isu penerimaan peralatan utama yang diperolehi dari luar negara seperti meriam dan bot.

Kelengkapan utama tersebut iaitu meriam ditempah dari Turkiye manakala bot dari United Kingdom.

OPV 1 dilengkapi dengan selaras meriam kaliber  30mm Smash Aselsan iaitu jenis meriam sama yang dipasang pada kapal-kapal peronda APMM kelas Bagan Datuk.

Sehinggalah kapal berkenaan diserahkan, barulah majlis penamaan diputuskan secara rasmi.

Jadi, ketika ini OPV 1 masih belum bernama walaupun ia dikatakan akan diberi nama sebagai Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah.

Kehadiran OPV 1 atau KM Tun Fatimah ke Langkawi ini sudah pasti menjadi antara aset tarikan utama, apatah lagi statusnya sebagai kapal peronda yang dibina oleh syarikat tempatan.

Kemunculan KM Tun Fatimah sama sekali dapat melenyapkan kontroversi atau isu berhubung kelewatan menyiapkan kapal tersebut apabila kapal sebenar dapat dilihat di depan mata.

Bagaimana pun, hasrat itu tidak kesampaian dan LIMA 2023 umpama hilang satu daya tarikan.

Memandangkan OPV APMM ini merupakan sebuah projek nasional, maka sepatutnya sebarang perkembangan semasa kapal wajar dikongsi dengan rakyat Malaysia.

Bagaimana pun, tujuh bulan selepas OPV 1 dilancarkan ke air, tidak banyak maklumat diketahui tentang fasa ujian di laut yang dijalankan.

Situasi ini juga sebenarnya menimbulkan tanda tanya berhubung status semasa projek berkenaan.

Perkongsian maklumat tentang perkembangan projek OPV ini kepada umum juga tidak akan memberi sebarang implikasi keselamatan kerana ia bukanlah melibatkan hal-hal teknikal atau strategi.

Sebaliknya, ia dapat menyuntik rasa bangga rakyat apabila melihat kemampuan syarikat perkapalan tempatan.

Keadaan ini berbeza dengan negara jiran misalnya Indonesia apabila firma di sana sangat terbuka untuk berkongsi perkembangan projek dengan pihak media.

Malah, laman media sosial syarikat seperti Facebook dan Instagram sentiasa dikemaskini dengan maklumat terkini sebarang projek yang dirancang atau sedang dijalankan.

Program OPV APMM kini menelan kos kira-kira RM891.5 juta setelah kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek tersebut yang kini diambil alih Kementerian Kewangan disiapkan pada tahun ini.

Pada 6 Januari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta, projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu pada Mac dan Oktober hadapan.

Beliau, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama.

Namun, Saifuddin memaklumkan kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply