Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam rampas pil ekstasi bernilai lebih RM78 juta

Kastam rampas pil ekstasi bernilai lebih RM78 juta

by Muaz Rizqi

BUTTERWORTH, 13 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas satu kontena mengandungi pil ekstasi seberat 1,063.206 kilogram bernilai lebih RM78 juta yang dibawa masuk dari Eropah, di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), Butterworth pada 6 Mei lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas kontena itu di NBCT pada 9 pagi dan menahan seorang lelaki berumur 48 tahun yang merupakan ejen perkapalan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati ia diisi dengan 20 unit pemampat udara atau ‘silent compressor’ dengan 14 daripadanya telah diubah suai ruang dalamannya untuk menyembunyikan bungkusan berisi pil ekstasi pelbagai warna,

“Nilai pasaran pil ekstasi dianggarkan lebih RM78 juta, rampasan tersebut merupakan kejayaan terbesar rampasan melibatkan dadah pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Beliau berkata baki kotak yang dibawa masuk ke dalam kontena itu memang benar mengandungi pemampat udara dan ia dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa yang memeriksa kontena berkenaan.

Zazuli berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pengimportan dadah secara besar-besaran itu.

Katanya berdasarkan siasatan, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyembunyikan dadah di dalam pemampat udara dan membuat pengikraran import barang dagangan yang tidak tepat untuk mengaburi pihak berkuasa sebaik tiba di Malaysia.

“Berdasarkan siasatan awal, menerusi borang kastam 1 pengimport masih belum mengikrarkan barang yang dibawa masuk dalam kontena tersebut,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang ditahan itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!