Home Semasa Polis tahan 5 lelaki, rampas dadah bernilai lebih RM3 juta

Polis tahan 5 lelaki, rampas dadah bernilai lebih RM3 juta

by Bernama

PONTIAN, 8 Mei – Polis menahan 5 lelaki dan merampas 2 jenis dadah bernilai RM3.43 juta dalam 2 serbuan berasingan di sekitar daerah Pontian dan Tangkak, Khamis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka termasuk seorang warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun itu, ditahan antara 8.45 hingga 10 malam.

Beliau berkata pihaknya merampas sebanyak 64.89 kilogram syabu bernilai lebih RM2.14 juta dan 58,626 biji pil ekstasi bernilai RM1.29 juta, yang dianggarkan boleh digunakan seramai 382,896 penagih.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan inap desa (homestay) sebagai transit pengedaran dadah ke negara jiran melalui jalan laut oleh tekong.

“Selain itu, kegiatan pengedaran dadah ini dipercayai telah aktif beroperasi sejak Januari lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, hari ini.

Kamarul Zaman berkata pihaknya turut menyita 4 buah kereta, sebuah motosikal, 2 bot fiber berserta enjin, wang tunai berjumlah RM1,790 dan 21 dolar mata wang Singapura.

“Kesemua lelaki terbabit direman selama 7 hari bermula Jumaat lepas dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata sejak 1 Jan hingga Khamis lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor telah menahan 5,886 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas satu tan dadah bernilai RM14.19 juta serta menyita harta bernilai RM5.1 juta. -BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply