Home Pertahanan dan Keselamatan 400,000 batang rokok putih terapung di Perairan Tok Bali

400,000 batang rokok putih terapung di Perairan Tok Bali

by Muaz Rizqi

PASIR PUTIH, 11 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan telah merampas sejumlah 40 kotak rokok putih yang ditemui terapung pada jarak lebih kurang 25 batu nautika daripada muara Tok Bali, Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot peronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin menjumpai sejumlah bungkusan berwarna coklat yang timbul di permukaan air dalam keadaan berselerak.

“Anggota APMM seterusnya membawa kesemua bungkusan berwarna coklat yang ditemui ke atas bot,

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua 40 bungkusan berwarna coklat yang ditemui merupakan rokok putih yang disyaki tidak berkastam,” jelasnya.

Menurut Nor Adli, kesemua 40 kotak rokok tersebut seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

“Pihaknya mengesyaki penyeludup tidak sempat mengambil kesemua rokok terapung ini dan mereka terpaksa meninggalkan bungkusan rokok berkenaan setelah menyedari kehadiran bot peronda APMM,

“Rokok yang ditemui ini juga disyaki akan dipasarkan di beberapa tempat di negeri – negeri Pantai Timur dan turut menyasarkan kegunaan lebih kurang 20,000 perokok,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kesemua 40 kotak ini mengandungi lebih kurang 400,000 batang rokok putih dan dianggarkan bernilai RM418 ribu dan kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Menurut beliau, pihak APMM Kelantan akan terus komited memastikan perairan negeri Kelantan terpelihara daripada sebarang kegiatan yang menyalahi undang -undang dan meminta agar orang ramai menyalurkan sebarang maklumat serta aduan berkenaan aktiviti yang mencurigakan atau jenayah di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply