Home Semasa Imigresen serbu kilang dan asrama di Selangor, berkas 64 pekerja asing

Imigresen serbu kilang dan asrama di Selangor, berkas 64 pekerja asing

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Apr – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menumpaskan satu sindiket yang membekalkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan pelekat palsu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang didalangi oleh warga asing dalam operasi khas yang dijalankan pada 5 dan 6 April lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh bekata, operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta dibantu oleh anggota dari Bahagian Penguatkuasaan, Putrajaya.

Beliau berkata, pasukan operasi telah menyerbu sebuah kilang dan asrama pekerja asing di Selangor serta pejabat operasi sindiket yang terletak di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan tersebut pasukan operasi telah menahan seramai 65 orang PATI melibatkan 43 orang lelaki warganegara India, 20 orang lelaki warganegara Bangladesh dan 2 orang lelaki warganegara Pakistan yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun,

“Dalang utama sindiket seorang lelaki warganegara India turut berjaya ditahan. Hasil semakan awal mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat yang tulen,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, hasil soal siasat dan pengakuan daripada suspek, pasukan operasi telah bergerak ke Seremban dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang merupakan orang kanan sindiket.

Tambahnya, semakan mendapati suspek yang berusia 30 tahun ini menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini.

“Modus operandi sindiket ialah dengan menubuhkan syarikat yang membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja,

“Sekiranya dipersetujui, sindiket akan membekalkan pekerja asing tadi yang telah diberikan pelekat PLKS palsu. Ini bertujuan supaya majikan atau kilang mempercayai bahawa mereka merupakan pekerja yang sah berdasarkan pelekat yang tertera di pasport,

“Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM6,000 untuk setiap pekerja warga asing yang inigin mendapatkan PLKS bagi membolehkan mereka bekerja di kilang tersebut,

“Sementara majikan atau kilang yang menggunakan pekerja asing ini perlu membayar gaji pekerja kepada syarikat sindiket berkenaan,” jelasnya lagi.

Dalam operasi ini, turut dirampas 62 naskah pasport terdiri dari 40 pasport India, 20 pasport Bangladesh, 2 pasport Pakistan yang didalamnya terdapat pelekat PLKS palsu serta 8 keping pelekat PLKS palsu yang belum dilekat di dalam pasport.

Ruslin menjelaskan, sindiket ini juga dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 hingga RM5 juta setahun hasil kegiatan haram yang dilakukan.

“Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta AMLATFPUAA 2001,

“Mereka semua ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya komited untuk membanteras membanteras keberadaan PATI di negara ini dan akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol melindungi PATI. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply