Home Semasa Laut China Selatan: Runding demi keamanan tanpa jejaskan kedaulatan – Wisma Putra

Laut China Selatan: Runding demi keamanan tanpa jejaskan kedaulatan – Wisma Putra

by M.Daim

PUTRAJAYA, 8 APRIL – Pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) hari ini menegaskan pendirian Malaysia dalam isu Laut China Selatan adalah konsisten dan tidak berubah.

Menurutnya dalam satu kenyataan, kerajaan tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan serta kepentingan negara di dalam kawasan maritim seperti yang terkandung dalam Peta Baru Malaysia 1979.

Jelasnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 4 April lalu adalah bermaksud “untuk berbincang dan menyelesaikan isu di Laut China Selatan dengan menggunakan platform sedia ada”.

“Sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik, dan tanpa menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,

“Ia juga bertujuan untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan (escalation) dan ancaman atau penggunaan kekerasan (threat or use of force),” kata kenyataan itu.

Wisma Putra menambah, Malaysia akan terus mengambil pendekatan diplomatik bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut yang aman, stabil serta  selamat untuk laluan perdagangan.

“Malaysia dalam akan terus mengambil pendekatan diplomatik dalam urusannya dengan lain-lain negara termasuk China,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, pendekatan ini adalah terkandung dalam Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), antaranya, penyelesaian konflik dengan aman dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan, seperti yang dipersetujui oleh Negara-Negara Anggota ASEAN dan China pada tahun 2002.

“Pendekatan rundingan juga sedang diambil Negara-Negara Anggota ASEAN dan China untuk memuktamadkan sebuah Kod Tatalaku di Laut China Selatan,

“Negara-Negara Anggota ASEAN dan China komited terhadap proses ini bagi menghasilkan sebuah Kod Tatalaku berdasarkan undang-undang antarabangsa,” ujarnya.

Pada 4 April lalu, Perdana Menteri menyatakan Malaysia sedia membuka meja rundingan sekiranya Beijing merasakan kawasan cari gali Petronas di Laut China Selatan adalah milik mereka.

“Kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan. Akan tetapi sementara itu, usaha kita untuk cari gali akan kita teruskan,

“Saya tidak mahu mengelak daripada meneruskan rundingan kerana ini pendirian ASEAN,

“ASEAN merasakan semua tuntutan bertindih harus diselesaikan secara rundingan. Akan tetapi setakat ini, Malaysia bertegas bahawa ini adalah di kawasan atau wilayah Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat semasa menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Kota Bharu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?