KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kerajaan digesa untuk memindahkan Lapang Sasar Udara Penor untuk dipindahkan ke lokasi yang lain.
Gesaan tersebut disuarakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mendakwa perkara ini telah lama dibangkitkan kerana kedudukan lapang sasar tersebut di tengah-tengah kawasan perkampungan dan membahayakan nyawa.
“Ia berada di tengah-tengah perkampungan dan beberapa kali insiden yang melibatkan lembu-lembu penduduk yang terkena bedilan daripada udara ke bumi,
“Saya fikir banyak kali perkara ini dibangkitkan kerana kawasan ini tidak sesuai,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan lapang sasar tersebut turut membahayakan nelayan pesisir kerana kedudukannya berhampiran dengan pantai.
“Kawasan ini berhampiran ke pantai, dia mendatangkan risiko kepada nelayan-nelayan pantai yang berada di kawasan tersebut,
“Walaupun kawasan ini dipagari, sebahagian besar pagar-pagar telah rosak dan telah musnah,” ujar beliau.
Tuan Ibrahim turut mencadangkan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan Malaysia untuk memindahkan lapang sasar tersebut ke lokasi yang lebih selamat dan strategik.
Lapang Sasar Udara Penor merupakan salah satu fasiliti latihan yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Fasiliti ini dibuka 23 Jun 1970 semasa ia digunakan oleh jet pejuang Tebuan untuk melakukan latihan menembak roket ke arah sasaran darat.
Sehingga kini, lapang sasar tersebut masih digunakan untuk pelbagai latihan oleh TUDM. Ini termasuk Tembakan Udara ke Bumi (Air-to-Ground oleh skuadron pesawat pejuang TUDM.
Semakan Air Times berdasarkan dokumen Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), kawasan sekitar kawasan tersebut dikategorikan sebagai Danger Area kerana digunakan bagi tujuan latihan penembakan senjata. – airtimes.my