Home Teknologi Pertahanan Bayraktar TB3: Taring baharu Turkiye, pelopor era baharu UAV di lautan

Bayraktar TB3: Taring baharu Turkiye, pelopor era baharu UAV di lautan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Syarikat Baykar, pengeluar pesawat tanpa pemandu (UAV) Bayraktar hari ini menyatakan pelbagai siri ujian penerbangan akan dilakukan terhadap produk baharu mereka.

Menurut Baykar dalam satu kenyataan, ujian penerbangan untuk Bayraktar TB3 akan bermula dalam masa terdekat.

Terdahulu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah melawat kilang pengeluaran Baykar pada Ahad lalu.

Beliau telah diberikan taklimat berhubung beberapa projek yang sedang dilaksanakan.

Menurut pihak Baykar, Bayraktar TB3 akan dipamerkan kepada umum untuk kali pertama dalam satu pameran Teknofest yang diadakan di negara itu pada akhir April ini, bersempena dengan penubuhan 100 tahun Republik Turkiye.

Jelasnya, Bayraktar TB3 merupakan era baharu penerbangan kerana pesawat tersebut mempunyai ciri-ciri khusus untuk dioperasikan dari kapal pengangkut.

 

“Bayraktar TB3 bakal menjadi UCAV pertama di dunia untuk mempunyai struktur sayap mudah lipat serta berupaya dari kapal pengangkut seperti TCG Anadolu,” katanya.

TCG Anadolu merupakan kapal amfibi tempur Tentera Laut Turkiye yang berkemampuan untuk mengoperasikan pesawat. Kapal siap dibina pada tahun 2019 ini sedang menjalani ujian pelayaran di negara itu.

Jelas Baykar, pesawat baharu itu mempunyai keupayaan komunikasi  di luar jarak pandangan (beyond-line-of-sight) dan dikawal dari jarak yang lebih jauh.

“Bayraktar TB3 mempunyai kemampuan untuk melakukan tinjauan dan pemantauan, pengintipan serta sistem persenjataan yang ampuh,

“Dengan keupayaan sebegini, Bayraktar TB3 mempunyai impak yang besar terhadap kemampuan cegah rintang Turkiye,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan spesifikasi yang diterbitkan oleh Baykar Tech, Bayraktar TB3 mampu untuk terbang melebihi tempoh 24 jam. Selain daripada itu, pesawat ini mampu untuk membawa beban sebarat 280 kilogram.

Related Articles

Leave a Reply