PEKAN, 19 Mac – Beberapa siri letupan dan disusuli tembak menembak berlaku di kawasan perkarangan Hotel Ancasa, Pekan, hari ini.
Kejadian berlaku apabila anggota pasukan khusus dari tentera Malaysia dan Indonesia melancarkan operasi bersama dengan bertindak menyerbu hotel yang ditawan oleh pengganas yang enggan membebaskan tebusan serta menyerah diri.
Serbuan ini dilakukan dengan melibatkan beberapa aset dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyokong operasi bersama pasukan itu dengan Tentara Nasional Indonesia (TNI).
Kenderaan berperisai AV8 Gempita ditempatkan di lokasi strategik bagi menyekat laluan keluar masuk pengganas ke kawasan hotel.

Kenderaan pengganas berjaya disekat oleh AV8 Gempita dan disusuli oleh kehadiran EC-725 TUDM yang membawa anggota pasukan khusus ATM serta TNI yang kemudiannya berjaya menumpaskan kumpulan militan terbabit. Foto: Air Times/Aszrin
Selain itu, anggota komando dari kedua-dua negara turut menyusup masuk melalui Sungai Pahang dengan menggunakan bot tempur.
Helikopter EC-725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah digunakan untuk menghantar masuk anggota pasukan khusus melalui teknik fast roping. Sementara itu, helikopter Agusta AW109 LOH Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) digunakan untuk memberikan bantuan tembakan tepat oleh sniper dari udara.
Pada masa yang sama, dron turut digunakan bagi memantapkan lagi pemantauan persekitaran dan operasi bersama pasukan khusus Malaysia-Indonesia.
Pertempuran selama beberapa minit itu berakhir selepas Hotel Ancasa Pekan berjaya ditawan dan pengganas telah tumpas sepenuhnya oleh pasukan khusus dari ATM dan TNI.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah mencemar duli menyaksikan kemuncak LATGABMA MALINDO DARSASA 11B/2023. Foto: Air Times/Firdaus
Kesemua tebusan yang ditawan oleh pengganas berjaya dibebaskan dalam operasi bersama itu.
Pertempuran ini turut disaksikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah mencemar duli untuk menyaksikan serbuan akhir latihan medan melawan keganasan LATGABMA MALINDO DARSASA 11B/2023.
LATGABMA MALINDO DARSASA 11B/2023 merupakan latihan gabungan bilateral antara Malaysia dan Indonesia dengan melibatkan kesemua cabang pasukan khusus dari angkatan tentera dari kedua-dua negara.
Latihan ini dilaksanakan semenjak 10 Mac 2023 lalu dan berakhir pada 19 Mac 2023.
Majlis penutupan LATGABMA MALINDO DARSASA 11B/2023 telah disempurnakan secara bersama oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom TUDM dan Panglima Komando Gabungan Wilayah Pertahanan I, Laksamana Madya TNI Irvansyah.

Antara kenderaan yang digunakan oleh pasukan khusus gabungan ATM dan TNI dalam operasi serbuan Hotel Ancasa yang ditawan oleh pengganas. Foto: Air Times/Firdaus
Markas Angkatan Bersama (Mk AB) dalam satu kenyataan berkata, eksesais ini melibatkan pasukan khusus dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dan TNI.
“Eksesais ini melibatkan seramai 611 orang termasuk 461 anggota dari Malaysia serta 2 Pegawai Pemerhati dari Polis Diraja Malaysia (PDRM),
“Selain daripada itu, penyertaan dari Indonesia adalah melibatkan 150 anggota tentera dan 2 pemerhati dari Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI),” kata kenyataan itu.
Penglibatan ATM merangkumi anggota dari Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU).
Indonesia pula menghantar Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Detasemen Jalamangkara (Denjaka), dan Detasemen Bravo 90 (Den Bravo 90). – airtimes.my