Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Medan Barat ketumbukan penting, lakar sejarah tersendiri – Panglima Tentera Darat

Medan Barat ketumbukan penting, lakar sejarah tersendiri – Panglima Tentera Darat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyatakan, bahawa Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMB TD) merupakan ketumbukan yang penting dalam usaha memelihara kedaulatan negeri-negeri di semenanjung tanah melayu.

Beliau berkata, kecemerlangan PMB TD dalam menjaga keselamatan sempadan negara telah membolehkan rakyat Malaysia di semenanjung menjalani kehidupan dengan suasana yang aman dan harmoni.

Menurutnya, banyak kejayaan yang telah dilakar, yang pastinya telah meningkatkan imej pemerintahan Medan Barat khasnya serta imej Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya.

“Antara kejayaan cemerlang yang telah dicapai termasuklah penglibatan dalam Greater Klang Valley Task Force sewaktu negara menghadapi ancaman penularan wabak COVID-19,

“Seramai 61 pegawai dan 931 anggota yang diaturgerak sebagai Oxigen Supply Carier, Rapid Resupply Team dan Body Management team ternyata telah membantu pihak kerajaan menghalang virus ganas ini daripada terus menular,” katanya semasa berucap sempena Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-28 di Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, di Kem Sungai Besi, hari ini.

Saya merasa amat bangga dengan tahap profesionalisme dan sikap mengutamakan tugas yang dipamerkan oleh segenap lapisan anggota di pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMB TD) ini – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, PMB TD melalui Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Bgd) dan 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja (Rej 91 RAJD) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

“Terdapat juga aktiviti-aktiviti lain yang telah dianjurkan oleh PMB TD pada tahun 2022 dan mendapat pengikhtirafan dari kerajaan serta masyarakat setempat,

“PMB TD ternyata telah meletakkan penanda aras yang tinggi untuk dicontohi dan diteladani oleh warga Tentera Darat keseluruhannya,

“Semua kejayaan ini dicapai hasil daripada kesepaduan usaha serta kerjasama erat yang diamalkan oleh seluruh warga PMB TD. Adalah menjadi harapan saya, nilai-nilai murni ini akan diamal dan diperkukuhkan lagi agar kecemerlangan PMB terus dapat dilakar pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat telah menerima Tabik Hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja(1 RAMD) yang diketuai oleh Mejar Abdul Hafizi Abdul Halim.

Kemudian, Zamrose telah menyaksikan Perbarisan Tempur Gabungan PMB TD melibatkan seramai 56 orang pegawai dan 1,120 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-10, Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) Leftenan Kolonel Muhammad Ikhwan Hussin.

Zamrose turut berkesempatan meluangkan masa berjumpa dengan warga 1 RAMD di mana ia merupakan salah satu pasukan yang pernah beliau berkhidmat pada tahun 1991 dan 2002.

Dalam masa yang sama, beliau turut merasmikan Network Centric Capabilities Center (NCCC) Markas PMB TD. NCCC ini merupakan salah satu daripada program pembangunan NCO ATM fasa 1 yang diselaraskan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM.

Projek NCCC Markas PMB TD ini telah bermula pada 6 Oktober 2021.

Majlis lawatan ini merupakan salah satu program yang dilaksanakan bagi menzahirkan penghargaan warga PMB TD terhadap Zamrose yang bakal menyerahkan tampuk pemerintahannya pada 22 Mac ini. -airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply