Home PolitikBarisan Nasional Tak ada campur tangan luar untuk selamatkan UMNO – Zahid

Tak ada campur tangan luar untuk selamatkan UMNO – Zahid

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud campur tangan luar sehingga berlakunya pengecualian kepada UMNO membabitkan usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti itu tahun ini.

Beliau berkata, usul kontroversi berkenaan diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022, yang mempunyai kuasa tertinggi dalam parti.

Menurutnya, tidak timbul parti itu memerlukan campur tangan luar bagi tujuan menyelamat, sebaliknya keputusan itu termaktub melalui klausa dalam Akta Pertubuhan 1966 yang memerlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan RoS mengabsahkan sesuatu keputusan.

“Tiada campur tangan luar kerana ada dua pengadu yang mencabar usul yang dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 2022,

“Usul itu diteliti oleh pengerusi tetap yang mengikut semua peraturan dalam PAU dan semua frasa dalam Perlembagaan dan perlu diketahui badan tertinggi dalam UMNO ialah perhimpunan agung dan perhimpunan agung membuat keputusan terbabit, dengan diterima lebih 95 peratus perwakilan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia bukan satu bentuk campur tangan oleh pihak luar, tetapi sebaliknya apa yang dilakukan adalah dibawah klausa Akta Pertubuhan 1966 yang antara lain, menyebut bahawa ROS perlu memberikan keabsahan terhadap sesuatu keputusan.

Bagaimanapun, Zahid menjelaskan, pihaknya masih menyantuni aduan dibuat dan akan terus memberikan segala maklum balas diterima RoS dan menolak dakwaan soal campur tangan luar, sebaliknya ia suatu klausa dalam akta pertubuhan.

Semalam, Datuk Seri Saifuddin mempertahankan keputusannya memberikan pengecualian buat UMNO dalam isu usul tidak mempertandingkan 2 jawatan tertinggi parti itu sambil menegaskan pihak yang tidak berpuas hati boleh mencabarnya di mahkamah.

Dia menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang mempertikai keputusannya menggunakan Seksyen 70 undang-undang berkenaan untuk mengecualikan Seksyen 13(1)(c)(iv) daripada digunakan terhadap UMNO.

Seksyen 70 akta itu memberi kuasa secara khusus kepada menteri untuk menggunakan budi bicaranya bagi mengecualikan mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta tersebut.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply