Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen serbu rumah kedai, 30 PATI Myanmar bertempiaran lari dicekup

Imigresen serbu rumah kedai, 30 PATI Myanmar bertempiaran lari dicekup

by Nurulhuda

IPOH, 9 Mac – Seramai 30 warga Myanmar telah ditahan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Perak menerusi serbuan yang dilakukan ke atas semua rumah kedai yang dijadikan lokasi transit bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke bandar raya ini, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Hapdzan Husaini memaklumkan, semua mereka terbabit yang terdiri daripada 26 lelaki dan 4 orang wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi serbuan yang dijalankan antara jam 7.30 hingga jam 9.30 malam.

Menurutnya, pemeriksaan dan hasil soal siasat mendapati hampir separuh daripada mereka baru memasuki Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan serbuan terpaksa mengumpil pintu masuk premis kerana penghuni enggan membukanya walaupun diminta beberapa kali oleh pegawai serbuan untuk berbuat demikian,

“Kehadiran pasukan operasi juga menyebabkan mereka bertempiaran lari cuba bersembunyi di belakang pintu, di dalam tandas dan di bumbung rumah,

“Bagaimanapun semua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi berjaya menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hapdzan turut menjelaskan, premis terbabit dijadikan lokasi transit bagi PATI yang diseludup sindiket penyeludupan sebelum mereka diserahkan kepada majikan berminat mengambil mereka bekerja, berdasarkan kepada jumlah wang tunai dijumpai serta maklumat awal daripada PATI yang ditangkap.

Tambahnya, operasi yang disertai 18 pegawai Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Perak itu turut berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Myanmar dipercayai menjadi penjaga premis berkenaan bersama wang tunai kira-kira RM40,000 bersamanya.

“Turut dirampas beberapa pasport asing di tempat kejadian dalam simpanan penjaga premis terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, belaiu berkata, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki dan berada di Malaysia tanpa sebarang pas sah, selain mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan mengikut Akta Pasport 1966. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?