MANILA, 5 Feb – Pasukan Pengawal Pantai Filipina (PCG) melaporkan kehadiran kapal tentera laut China (PLA Navy) di dalam zon perairan mereka.
Menurutnya, kapal tersebut dikesan bersama vesel Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan militia maritim (CMM) di zon perairan Pulau Pag-asa.
“Anggota petugas PCG di Pag-asa melaporkan kehadiran kapal PLA Navy, kapal CCG dan 42 vesel yang disyaki CMM,
“Kesemua kapal-kapal ini berada dalam lingkungan 4.5 e 8 batu nautika dari Pulau Pag-asa,” katanya dalam satu kenyataan.
PCG menegaskan kesemua vesel China yang dikesan berada dalam zon perairan wilayah 12 batu nautika dari pulau yang diduduki oleh Filipina.
“Berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) dan keputusan Timbang Tara Laut China Selatan 2016, kapal-kapal China secara jelas memasuki zon perairan wilayah,
“Kehadiran kesemua vesel ini adalah bertentangan dengan hak laluan ikhlas (innocent passage) di bawah UNCLOS,
“Mereka secara terang-terangan mencabuli integriti wilayah Filipina,” tegas PCG.
Menurut kerajaan Filipina, Pag-asa merupakan pulau terbesar dalam Gugusan Kepulauan Kalayaan dan diletakkan di bawah zon pemerintahan wilayah Palawan.
Pulau turut dikenali sebagai Thitu Island itu merupakan antara kawasan tuntutan bertindih di kawasan Laut China Selatan. Pulau seluas 37.2 hektar itu dihuni oleh 400 orang penduduk.
Stesen tentera laut dan lapangan terbang turut ditempatkan di pulau kedua terbesar dalam Gugusan Kepulauan Spratlys. – airtimes.my