KUALA NERANG, 23 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 7 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan negara Malaysia-Thailand dalam 2 siri tangkapan berasingan, semalam.
Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Bgd) memaklumkan, kejadian tersebut berlaku di Bukit Kayu Hitam, di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurut 6 Bgd, anggota operasi yang melaksanakan pemeriksaan dan rondaan di kawasan laluan balak berhampiran di kawasan sempadan telah menahan 2 orang awam dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil soal siasat mendapati 2 orang awam tersebut adalah PATI warganegara Thailand yang memasuki Malaysia secara haram dan tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah,” jelas Markas 6 Bgd menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

2 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand yang cuba memasuki Malaysia secara harap di kawasan hutan di sempadan negara.
Sebelum itu, pasukan operasi juga telah menahan 5 PATI warga Myanmar yang cuba merentasi sempadan negara di sekitar kawasan tersebut.
“Hasil daripada maklumat perisikan, anggota ronda di kawasan tapak pembinaan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand telah menahan seramai 5 orang awam yang dipercayai PATI warga Myanmar,
“Kesemua PATI berkenaan memasuki Malaysia secara haram dan tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah,” jelasnya lagi.
Menurut Markas 2 Div, kesemua PATI berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Padang Terap dan Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya. -airtimes.my