KUALA LUMPUR, 22 Feb – Seramai 500 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai pengiktirafan atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan negara daripada ancaman pengganas komunis.
Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memaklumkan penganugerahan itu telah disempurnakan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang, semalam.
Menurut JHEV, jumlah penerima PJM ini adalah termasuk 13 balu yang menerima pingat PJM mewakili suami yang telah meninggal dunia.
“Sejarah penganugerahan PJM yang dikoordinasi JHEV ATM telah dilaksanakan pada 3 Mac 2004 merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis,
“PJM hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat yang berkelayakan,” jelas JHEV dalam kenyataan pada Selasa.
JHEV memaklumkan syarat kelayakan menerima PJM adalah mereka yang telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM).
“Mereka juga mesti telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU),
“Mereka yang terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas PKM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas PKKU bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 turut layak menerima PJM,” jelas JHEV lagi.
Sehingga hari ini, seramai 34,132 warga veteran ATM telah menerima PJM manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi menerimanya akan dijadualkan penganugerahannya pada masa akan datang.-airtimes.my