MUNICH, 19 Feb – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Wang Yi.
Pertemuan antara kedua-dua pihak diadakan semasa Munich Security Conference pada 18 Februari.
“Blinken telah menyatakan terus kepada Wang Yi mengenai pencerobohan belon peninjau beraltitud tinggi milik China,
“Pencerobohan ini merupakan satu pencabulan kepada kedaulatan Amerika Syarikat dan undang-undang antarabangsa,” kata Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mengesahkan pertemuan tersebut.
Blinken turut menegaskan pendirian Washington bahawa pencerobohan sebegini tidak boleh diterima.
Menurut kenyataan yang sama, belon beraltitud tinggi China dilaporkan telah menceroboh ruang angkasa 40 buah negara di 5 benua.
Dalam pada itu, Blinken menyatakan kepentingan kepada kedua-dua pihak untuk meneruskan dialog diplomatik dan membuka pintu komunikasi sepanjang masa.
Pada 4 Februari lalu, Amerika Syarikat telah menembak jatuh belon beraltitud tinggi milik China di ruang udara luar pesisir South Carolina.
Penembakan jatuh belon tersebut telah memburukkan lagi hubungan Washington-Beijing.
Belon tersebut dikesan pada 1 Februari di ruang udara Montana oleh pesawat penerbangan awam. Kehadiran belon tersebut telah menyebabkan ruang udara di sekitar Billings ditutup atas sebab keselamatan.
Amerika mendakwa belon tersebut digunakan bagi tujuan mengintip dan memintas isyarat komunikasi. Dakwaan Washington disanggah oleh Beijing yang menyatakan belon terbabit digunakan bagi tujuan meteorologi.
Insiden belon ini telah menyebabkan Blinken membatalkan lawatan rasmi beliau ke China bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Xi Jinping. – airtimes.my