BUKIT KAYU HITAM, 14 Feb – Seramai 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika cuba masuk negara dengan menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
Pihak Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, kejadian tersebut berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurutnya, bertindak atas maklumat perisikan, pasukan beroperasi telah mengesan dan seterusnya menahan sekumpulan orang awam di kawasan ladang getah kerana cuba memasuki Malaysia secara haram.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 13 orang awam yang ditahan merupakan PATI warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan,
“Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 9 lelaki dan 4 wanita yang berumur antara 20 hingga 44 tahun,” jelas pihak 2 Div dalam kenyataan malam tadi.
Turut dirampas 12 buah telefon bimbit, wang dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar, 2 buah passport dan 9 kad pengenalan diri.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM8,139.07. Seterusnya, PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.
Tambah Markas 2 Div, pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan kemasukan PATI.-airtimes.my