Home Semasa Pertumbuhan ekonomi berterusan 2023, Malaysia tidak akan alami kemelesetan – Bank Negara

Pertumbuhan ekonomi berterusan 2023, Malaysia tidak akan alami kemelesetan – Bank Negara

by Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan Malaysia dijangka tidak mengalami kemelesetan memandangkan permintaan dan perbelanjaan domestik yang mampan akan terus menyediakan asas yang kukuh bagi pertumbuhan.

Beliau berkata walau bagaimanapun, unjuran rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkini hanya akan dikeluarkan menerusi pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Feb ini.

Setakat ini, prestasi suku pertama 2023 menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding dengan pertumbuhan 7.0 peratus yang dicatatkan semasa suku keempat 2022, katanya.

“Kita mengunjurkan pertumbuhan berterusan pada 2023 namun pada kadar yang lebih sederhana ekoran permintaan luar yang perlahan.

“Perkara penting yang ingin saya tekankan adalah kita mencatatkan peningkatan berterusan dalam pasaran kerja dan kita akan meraih manfaat daripada kesan positif susulan pembukaan semula China,” katanya kepada pemberita semasa sidang media mengenai perangkaan suku keempat dan setahun penuh 2022 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kerajaan juga menekankan angka pelaburan yang tinggi serta pemulihan berbentuk ‘V’ yang dicatatkan aktiviti pelancongan sudah cukup untuk mengimbangi penyederhanaan eksport yang berpunca daripada pertumbuhan permintaan global yang lembap.

Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi turut dijangka di peringkat global, malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menaikkan unjuran KDNK bagi 2022 dan tahun ini, katanya.

Berdasarkan unjuran terkini, IMF menjangkakan pertumbuhan sebanyak 2.9 peratus pada 2023 berbanding 2.7 yang dibuat sebelum ini.

Bag suku keempat 2022, pertumbuhan global terus perlahan dalam keadaan kadar faedah lebih tinggi dan kegiatan perdagangan yang lembap.

Peningkatan semula kes COVID-19 di China yang teruk juga menjejaskan perbelanjaan dan aktiviti pengeluaran.

Ekonomi Malaysia bagi 2022 berkembang pada kadar tertinggi dalam tempoh 22 tahun iaitu 8.7 peratus berbanding dengan 3.1 peratus yang dicatatkan tahun sebelumnya, dipacu oleh pertumbuhan positif dalam semua sektor.

Walau bagaimanapun, berasaskan suku ke suku, angka KDNK menguncup 2.6 peratus pada suku keempat 2022 berbanding suku ketiga tahun yang sama.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyederhanaan pada suku keempat berbanding pertumbuhan tinggi semasa suku ketiga menunjukkan sokongan daripada langkah rangsangan telah berkurangan.

Beliau berkata walaupun ekonomi pada 2022 telah mengatasi kadar prapandemik 2019 namun tiga sektor ekonomi utama masih kekal di bawah paras prapandemik, iaitu perlombongan dan pengkuarian, pembinaan dan pertanian.

“Pada 2021, bilangan pekerja bagi ketiga-tiga sektor ini adalah 2.8 juta, iaitu masih 0.1 juta lebih rendah daripada data prapandemik.

“Makanan dan minuman, penginapan, hartanah, perkhidmatan perniagaan, pendidikan swasta dan aktiviti perkhidmatan lain masih di bawah data prapandemik, walaupun keseluruhan sektor perkhidmatan telah mengatasi data yang direkodkan 2019,” katanya.

Pada 2022, perbelanjaan perjalanan dalam negara meningkat kepada RM27.9 bilion daripada RM0.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perjalanan dalam negara masih di bawah paras prapandemik, dengan ketibaan pelancong berjumlah 26.1 juta.

“Sebagai perbandingan, perbelanjaan perjalanan ke luar negara meningkat kepada RM29.6 bilion, lebih separuh daripada RM51.3 bilion yang dicatatkan semasa prapandemik,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply