GAZA, 6 Feb – Pihak berkuasa kesihatan Palestin meminta rayuan dari komuniti antarabangsa untuk membantu seramai 9,000 pesakit kanser di Gaza.
Rayuan disuarakan oleh pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Palestin, Abdul Latif Al-Hajj.
Menurut beliau, kesemua pesakit terbabit memerlukan rawatan untuk mengubati kanser.
“Sistem kesihatan Gaza mempunyai kekangan dari segi penjagaan kesihatan kepada pesakit kanser dari segi pengesanan, dianostik, radiologi dan kemoterapi,” katanya yang dipetik oleh Anadolu Agency.
Menurut beliau, kerajaan Palestin telah merayu kepada komuniti dan persatuan hak asasi manusia antarabangsa untuk memikul tanggungjawab dan mendesak Israel bagi membenarkan pesakit kanser untuk menerima rawatan di Jerusalem serta Tebing Barat.
Jumlah pesakit kanser meninggal dunia dilaporkan telah meningkat sebanyak 12.5 peratus pada tahun 2021.
Kementerian Kesihatan Palestin menyatakan peningkatan tersebut adalah berpunca daripada kekurangan rawatan radioterapi dan pemeriksaan kerana sekatan dikenakan oleh Israel.
Majoriti pesakit di Gaza bergantung kepada perkhidmatan kesihatan di Timur Jerusalem, Tebing Barat dan Israel kerana kawasan tempat tinggal mereka tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang mencukupi. – airtimes.my