Home Semasa Amaran sindiket ‘push-pocket’ mesej lama ditular semula – PDRM

Amaran sindiket ‘push-pocket’ mesej lama ditular semula – PDRM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah mengesan satu mesej tular yang memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati dengan sindiket ‘push-pocket’ dan peras ugut didakwa berlaku di kawasan tumpuan ramai seperti di lapangan terbang serta stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

Mesej tular sejak tahun 2016 itu mendakwa, pihak sindiket akan menyelitkan telefon pintar atau dompet ke dalam poket atau beg milik mangsa dan menuduh mereka sebagai pencuri lalu mengugut untuk membuat laporan polis.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Polis, Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, mangsa kemudian diminta untuk membayar sejumlah wang kononnya untuk menyelesaikan kes curi berkenaan.

“PDRM mengesan mesej tular kononnya terdapat kegiatan jenayah ‘push-pocket’ di kawasan tumpuan ramai seperti lapangan terbang dan stesen LRT,

“Semakan mendapati mesej berkenaan tular sejak tahun 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial, bagaimanapun tiada sebarang laporan polis diterima mengenai modus operandi sedemikian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Noorsiah meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang mesej yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

Tambahnya, tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply